Sistem biometrik: Tolak kotor ambil bersih, kata Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sistem biometrik pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya terbukti tiada penyelewengan dalam pelaksanaannya.
Menteri Besar Kelantan menjelaskan beliau tidak pernah menyatakan sokongan bulat-bulat terhadap cadangan penggunaan sistem biometrik itu.
Justeru kata Nik Aziz, beliau menyokong pendirian jawatankuasa PAS pusat menolak penggunaan sistem biometrik itu.
"Saya menyokong pendirian PAS pusat yang menolak kaedah biometrik yang ingin diperkenalkan oleh SPR.
"Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat, saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui," katanya menerusi laman Facebook.
Jelas pemimpin veteran ini, jika sistem biometrik meragukan ia wajar ditolak.
"Tolak kotor ambil bersih," katanya.
Laporan media sebelum ini mengatakan Nik Aziz (gambar) menyokong sistem biometrik  jika terbukti boleh membawa “kebersihan” dan tiada penyelewengan dalam pelaksanaannya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pula berkata parti itu tetap dengan pendirian mendesak SPR supaya menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelak masalah pengundi hantu.
Semalam Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa berkata selagi SPR gagal untuk membersihkan senarai nama pemilih seperti dikehendaki, maka penggunaan sistem biometrik akan membuka lebih luas ruang kepada berlakunya penipuan dalam pilihan raya.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mengadakan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Ketika bercakap pada satu wacana di Shah Alam petang semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, kajian mengenai sistem biometrik sudah berada di peringkat akhir tetapi SPR tidak dapat memberi jaminan sama ada ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevesan berkata cadangan yang dikemukakan SPR itu boleh diterima sekiranya semua maklumat mengenai sistem itu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau menegaskan pihaknya mahu dakwat kekal yang merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0 digunakan sehingga sistem biometrik terbukti telus.

0 Komen pengunjong :