Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap

NONE

Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR ditangkap di KL Sentral petang ini kerana berpakaian kuning dan cuba menyerahkan memorandum tuntutan BERSIH 2.0 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin, ditahan oleh sekumpulan anggota polis sejurus sebelum ketibaan Najib dan rombongannya.

"Ironinya, seorang daripada kami memakai jersi bolasepak pasukan Malaysia dan saya sendiri memakai warna merah 'Patriot' ketika kami ditangkap,” kata Fareez kepada Malaysiakini.

Semua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke balai polis Travers.

Selain Fareez, timbalan ketua penerangan pemuda PKR Rozan Azem Mat Rasip adalah antara mereka yang ditangkap.

Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajaya menuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Beliau dan rombongan yang sebelum itu dibawa dengan bas dari Pejabat Perdana Menteri ke Stesen Putrajaya Sentral pada 2.10 petang disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi.

Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri lain meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai di stesen itu.

0 Komen pengunjong :