Putrajaya tutup kes, tolak dakwaan terhadap AG


KUALA LUMPUR, 14 Dis — Putrajaya telah memutuskan untuk menutup isu insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 1998 “sama sekali” dengan mengetepikan dakwaan terbaru kononnya wujud unsur pemalsuan bukti oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam jawapan yang sangat dinanti-nantikan di Parlimen hari ini, kerajaan mengambil pendirian mengetepikan dakwaan yang dibuat oleh bekas pegawai siasatan Datuk Mat Zain Ibrahim bahawa Abdul Gani telah memalsukan dokumen dalam kes itu — dakwaan yang dibuat menerusi dua surat terbuka.
Sebaliknya, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, tidak perlu bagi Mat Zain membuat aduan bahawa panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan pemalsuan bukti telah gagal untuk membersihkan nama beliau dalam insiden itu.
Ini menurut Nazri, Mat Zain tidak pernah tertakluk kepada siasatan panel dan hanya dipanggil sebagai seorang saksi untuk memberikan keterangan.
“Panel penasihat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), dalam suratnya kepada Datuk Mat Zain pada 23 Julai 2009, sudah pun menekankan bahawa tidak perlu panel bebas atau SPRM membersihkan nama Mat Zain, memandangkan beliau tidak tertakluk kepada siasatan,” katanya.
Tambah beliau, panel itu tidak menjalankan siasatan melibatkan Mat Zain sebagai satu subjek dan oleh itu, tidak bertanggungjawab untuk membuat sebarang penilaian terhadap bekas ketua jabatan siasatan jenayah Kuala Lumput itu.
Nazri juga menambah bahawa panel itu dilantik mengikut perlembagaan meskpin Mat Zain mendakwa Penguam Cara Negara tiada kuasa untuk melantik anggotanya.
Kata beliau, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai pendakwa raya dalam keadaan Peguam Negara tidak boleh bertindak sedemikian.
“Dalam kes ini, Abdul Gani adalah subjek siasatan dan oleh itu, adalah tidak adil atau sesuai bagi beliau untuk melantik anggota panel.
“Oleh itu, Peguam Negara mengambil alih tugas untuk bertindak sedemikian dan ia adalah sah,” katanya.
Di akhir rumusan penjelasan Nazri hari ini, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) bangun untuk memprotes bahawa penjelasan itu tidak memuaskan, tetapi usahanya dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat.
Khamis lalu, Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusan final, yang dijadualkan semalam, sama ada perlu membuka semula kertas siasatan berkaitan insiden matla lebam Anwar, yang berlaku 12 tahun lalu, ekoran dakwaan wujudnya bukti terbaru.
Nazri juga berkata, beliau akan menjawab gesaan pembangkang di Parlimen berhubung isu itu dan keputusan yang bakal diumumkan adalah “muktamad.”
Dalam kenyataan minggu lalu itu, Nazri berkata kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Lim, yang juga Penasihat DAP, bahawa kes mata lebam sudah ditutup adalah “tepat.”
“Hishammuddin tidak salah dalam mengatakan ia sudah ditutup. Kes itu sudah lama ditutup. Apa yang yang berlaku baru-baru ini ialah wujudnya maklumat terbaru.
“Kami akan menjawab minggu depan, tunggu dan lihat,” kata Nazri.
Awal minggu lalu, Lim mendesak penjelasan pentadbiran Najib berhubung komitmen Kabinetnya bahawa akan membuka semula siasatan berkaitan dengan insiden mata lebam Anwar sambil mendakwa menteri-menterinya membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah.
Lim mempersoalkan sama ada Hishammuddin merampas tanggungjawab yang diberikan kepada rakan sejawatannya Nazri agar mengendalikan perkara berkenaan, dengan mengisytiharkan kes itu sudah pun ditutup.
Pada 24 November lalu, Nazri berkata, kerajaan akan menyiasat surat terbuka Mat Zain yang mendakwa Peguam Negara mempunyai peranan dalam insiden mata lebam Anwar yang berlaku 12 tahun lepas.
Nazri berkata, Kabinet mengarahkan beliau dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berjumpa dengan Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan surat terbuka Mat Zain.
Nazri berkata beliau dan Rais perlu menemui Abdul Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Isnin lepas, Mat Zain merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim pada sidang Dewan Rakyat 9 November lepas.

0 Komen pengunjong :