Tidak Pernah Mahu Pinda Perkara 153, Perkasa Cepat Melatah

KUALA LUMPUR 22 SEPT: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menganggap Perkasa cepat melatah apabila membuat kesimpulan mudah tetapi salah berhubung artikel tulisannya berkaitan Perkara 153.
Merujuk artikel 'Debat Agung Malaysia: Wacana bersama Perkasa untuk permulaan baru Malaysia: Malaysia atau Malaysaja?', beliau tidak pernah meminta Perkara 153 dipinda, sebaliknya mencadangkan wacana bersama Perkasa dalam membincang agenda hala tuju negara.
"Saya meminta (dalam artikel) supaya tumpuan diberi kepada bagaimana dasar afirmatif yang hanya bertindak membantu sekelompok kecil orang Melayu dilaksanakan yang saya percaya sehaluan dengan tuntutan yang dibuat Perkasa sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung artikel yang ditulis didakwa mengandungi kenyataan berunsur hasutan yang menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditemani peguam, Lateefah Koya yang tiba di balai pada 12.20 tengah hari berikutan laporan polis yang dibuat Perkasa terhadap Nurul Izzah pada 2 September lalu dan kini disiasat mengikut Akta Hasutan.
Nurul Izzah berkata, Perkasa menyalahgunakan Perkara 153 dalam mempertikai  dasar afirmatif yang diperkenalkan Perdana Menteri berdasarkan keperluan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) melibatkan liberalisasi beberapa subsektor ekonomi.
"Saya sekadar memohon penjelasan manakala pemimpin di atas sudah merubah dan meminda DEB  menjadi intipati kepada Perkara 153," kata beliau yang menganggap artikel itu menjadi ancaman kepada Perkasa.

0 Komen pengunjong :