Showing posts with label Nurul Izzah. Show all posts

PR fail saman terhadap SPR berhubung dakwat kekal Isnin ini


Nurul Izzah Anwar mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan saman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini berhubung isu kemelut dakwat kekal yang mencetuskan kontroversi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak yang terkandung dalam dakwat berkenaan.
“Kami mempunyai bukti dan dokumen yang cukup untuk menyaman SPR.
"Mereka tidak boleh menukar kenyataan berhubung kandungan nitrat perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus dan kemudiannya mengumumkan hanya pewarna makanan,” katanya dalam satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
PR akan mengumumkan secara rasmi mengenai saman itu dalam satu sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
Naib Presiden PKR itu juga menyifatkan kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dalam membawa 22 syor PR dalam penambaikan perjalanan pilihan raya adalah disebabkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai suara majoriti sekaligus mengetuai suruhanjaya berkenaan.
“BN mempunyai ahli yang ramai dalam suruhanjaya berkenaan manakala Ahli Parlimen PR mempunyai suara sedikit bagi membantah usul yang diutarakan suruhanjaya berkenaan.
“Cadangan ahli parlimen PR seperti Dr Mohd Hatta Ramli, (Mohamed) Azmin Ali dan Anthony Loke tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada PSC. Cadangan yang dikemukakan seperti pendaftaran pengundi secara automatik apabila berumur 21 tahun dan parlimen dibubarkan selepas empat tahun berlangsung turut tidak dilaksanakan,” katanya ketika berucap di siri seminar pasca pilihan raya yang dianjurkan Majlis Peguam, hari ini.
Beliau menggesa SPR supaya lebih telus dalam menjalankan proses persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini.
“SPR dilihat cenderung memberi kemenangan kepada BN dengan memperluaskan kawasan yang dimonopoli mereka seperti memecahkan kawasan di Sungai Besar, Selangor namun menyatukan kawasan yang tidak diungguli mereka dengan mencantumkan kawasan parlimen Ampang dan Pandan,” katanya.
Antara syor yang diketengahkan PSC pada April tahun lalu ialah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di perwakilan Malaysia atau secara pos; memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media serta membenarkan pra pendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemiilih apabila mencapai umur 20 tahun.
Seterusnya >>>

‘Masalah dalaman menyekat pemansuhan Akta Hasutan’


KUALA LUMPUR: Percanggahan pendapat ahli-ahli Umno menyekat pelunasan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan, kata ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini.
Katanya, ini berdasarkan dolak dalih pendirian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar semua yang ingin memansuhkan Akta Hasutan ini termasuk Datuk Seri Nazri Aziz serta Datuk Seri Nancy Shukri.
Najib baru-baru ini di London telah mengulangi komitmennya untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Akta Hasutan 1948 diwujudkan oleh kuasa kolonial British dan mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
“Pengalaman lampau dan terkini pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis tempatan membuktikan bagaimana Akta ini disalahguna demi menghukum individu yang tidak bersetuju atau menyokong Barisan Nasional,” kata Nurul Izzah.
Tambahnya, kenyataan Ahmad Zahid bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak akan ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut adalah salah.
“Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) berpendirian bahawa undang-undang sedia ada mencukupi. Sebagai contoh, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan atau kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan seharusnya mengambil kira kehendak rakyat majoriti dengan kehendak politik untuk memulihkan demokrasi termasuk melaksanakan tugas sebuah kerajaan agar menyelesaikan sebab sebenar mengapa hasutan mahupun jenayah berganda dan bukan mencari jalan mudah dengan menggunakan “akta-akta lapuk dan anti-demokratik untuk menutup krisis perpecahan perpaduan serta keadaan jenayah yang meruncing.”
“Adalah jelas akta-akta ini menjadi senjata politik dan bukan alat untuk mempertahankan hak rakyat hidup bersatu dengan semangat muhibah dan selamat di negara ini,” katanya.
Beliau juga menggesa agar Najib menyatakan pendirian muktamad mengenai janji memansuhkan Akta Hasutan.
“Sekiranya tidak, integriti serta kredibiliti kerajaan  Najib akan terus dipersoal oleh rakyat apabila janji demi janji yang dibuat tidak pernah ditepati,” katanya.
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/08/masalah-dalaman-umno-menyekat-pemansuhan-akta-hasutan/#sthash.4t34eQPh.dpuf
Seterusnya >>>

Akta Hasutan: Najib didesak nyata pendirian

Izzah

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak konsisten untuk memansuhkan Akta Hasutan.
“Sejak tahun lalu Najib menyatakan usahanya untuk memansuhkan akta ini digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional,” kata Nurul Izzah dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN.
Katanya, Najib dilihat bercanggah dengan pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyelar pihak yang mahu akta tersebut dimansuhkan.
Zahid baru-baru ini berkata, pemansuhan Akta Hasutan menyebabkan agama Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan oang Melayu dicabar.
“Akta ini hanya senjata politik dan bukan alat untuk pelihara hak rakyat Malaysia. Jelas sekali Akta Hasutan akan menghakis legitimasi demokrasi kerajaan,” katanya.
Nurul Izzah berkata, undang-undang sedia ada mencukupi antaranya Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mampu menangani isu yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Tambahnya, Akta Hasutan yang diwujudkan penjajah British pada 1948 mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
Malah, laras, terma dan liputan bahasa yang digunapakai terlalu luas dan berpotensi disalahguna pemerintah.
“Kerajaan sewajarnya mengambil kira ‘kehendak rakyat majoriti’ dan ‘kehendak politik’ untuk memulihkan demokrasi. Bukannya mengambil akta anti demokratik,” ujarnya.
Seterusnya >>>

'Tangan-tangan hitam' didakwa melindungi pencetus provokasi

Nurul Izzah dakwa pencetus provokasi dilindungi 'tangan-tangan hitam'

KUALA LUMPUR – Tindakan lanjut terhadap individu yang dipercayai mencetuskan provokasi dan kekecohan dalam program dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah tersekat kerana didakwa mempunyai kaitan dengan ‘tangan-tangan hitam'.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa, ‘tangan-tangan hitam’ itu dikatakan cuba melindungi mereka yang bertindak kasar sehingga menyebabkan ada penyokong tercedera.

“Sebelum ini, insiden seperti ini pernah berlaku di Lembah Pantai, tapi tidaklah sampai seperti di Gombak (program Jelajah Mesra Rakyat). Semua sudah kita dokumentasikan (buat laporan polis) tapi malangnya masih lagi dilindungi.

“Jadi pada saya, jelas bahawa ada cubaan ‘tangan-tangan hitam’ yang melindungi pemukul serta mereka yang bertindak kasar.

"Saya pasti, ada arahan keluar kepada pihak polis untuk tidak menangkap individu yang memukul dan membaling batu,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Mesra Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden provokasi yang berlaku pada malam Jelajah Merdeka Rakyat yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak, 4 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, terdapat penyokong PKR dan Umno dilaporkan mengalami kecederaan termasuk terkena tikaman.

Susulan insiden tersebut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PR akan mengadakan perbincangan bagi mempertimbangkan langkah selanjutnya yang akan diambil memandangkan ia melibatkan keselamatan orang ramai.

“Jika tidak, ia akhirnya memberi insentif dan galakan kepada ramai lagi buat lebih banyak dan lebih teruk kepada pimpinan PR.

"Ini yang harus rakyat tentang kerana akhirnya rakyat tak berdosa yang terkena seperti mereka yang hadir ceramah atau kebetulan ada di situ,” katanya.

Beliau menegaskan, PR menolak politik ganas seperti yang berlaku di Gombak dan meminta agar mereka diberi ruang berkempen kepada rakyat dengan cara sihat.

“Apa pun yang kita mahukan dalam Malaysia, konteks pelbagai parti yang bertanding, perlulah gaya sihat,” katanya.

Pada majlis itu, Nurul Izzah beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga ketika program ‘walkabout’ di Pasar Tani PPR Kerinchi serta Balaji Mini Market, Kondo Rakyat.
Seterusnya >>>

Nurul Izzah saman Utusan kerana memfitnah dan putar belit kenyataan


KUALA LUMPUR 23 November: Nurul Izzah Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Malaysia kerana memfitnah dan memutar belit kenyataannya berhubung isu kebebasan beragama pada sebuah forum awal bulan ini.
Naib Presiden KEADILAN itu hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bersama peguamnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin.
Selaku plaintif, beliau menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, masing-masing defendan pertama dan kedua.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menuntut akhbar kawalan Umno itu memohon maaf, mendapat perintah menghalang defendan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah, gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi teruk serta kos mahkamah.
Hadir sama, Pengarah Jawatankuasa Disiplin KEADILAN, Dr Tan Kee Kwong.
5 November lalu, Utusan pada muka depannya memanipulasi kenyataan Izzah dalam forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’ di Geraja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya.
Laporan tersebut bertajuk “Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu – Nurul Izzah”.
Menjelaskan kedudukan sebenar, Izzah dalam kenyataan berkata, sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepadanya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.
“Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.
“Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad,” katanya.
Seterusnya >>>

Nurul Izzah Jadi Mangsa Untuk Lindungi Najib



Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 pada 21 Oktober lalu berkata lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.
Dalam ucapan yang juga di hadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Soi Lek mendakwa 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.
Berikutan kenyataan Soi Lek tersebut selama lebih dua minggu media, pemimpin politik, ahli akedemik dan tokoh ilmuan Islam memprotes dan mengecam kenyataan Soi Lek tersebut.
Tempias yang lebih besar kesan dari kenyataan Soi Lek itu adalah kepada Najib yang berada di perhimpunan tersebut.
Secara langsung dan tidak Najib diberikan persepsi sebagai pemimpin yang membiarkan agama dan bangsanya dihina oleh orang lain dihadapan beliau sendiri.
Sikap dan tindakan berdiam diri Najib pula dianggap sebagai dayus dan pengkhianat kepada bangsa dan agamanya sedangkan beliau adalah pemimpin parti yang kononnya membela bangsa melayu dan agama Islam
Sedangkan kenyataan Soi Lek tersebut amat sensitif bukan sahaja kepada orang melayu dan agama Islam malah mampu mengundang ancaman kepada keselamatan negara.
Sudah pasti sekiranya mana-mana pemimpin pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan tersebut setentunya akan di tangkap di bawah ISA atau apa-apa akta berkaitan.
Tindakan Soi Lek bukan sahaja suatu penghinaan kepada orang melayu dan agama Islam malah dianggap cuba mencampuri urusan agama Islam.
Tindakan penjajah British dahulu yang tidak mencampuri urusan agama Islam tetapi mencampuri urusan lain adalah bukti bahawa British mengenali sensitiviti orang melayu dan penganut agama Islam.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan berkata Soi Lek tidak berhak membuat kenyataan tersebut dan kenyataan Soi Lek di anggap biadap dan suatu cacian dan penghinaan kepada agama Islam.
Kenyataan Soi Lek telah melukakan hati umat Islam khususnya orang-orang melayu akan menjadi isu yang amat besar sekiranya tidak ditangani segara oleh Umno.
Lebih malang adalah kepada Najib yang batang jasad beliau menjadi saksi dari segala kata-kata cacian yang dikeluar dari mulut Soi Lek tersebut.
Manakala tindakan Pemuda PAS yang akan membawa isu tersebut kepada Yang Di Pertuan Agung juga dilihat akan menyebabkan orang melayu hilang keyakinan kepada Umno yang di ketuai Najib.

Najib Sedar hilang sokongan
Dalam konteks politik pula, semua sedar Umno hanya bergantung kepada sokongan orang melayu. Tindakan membiarkan isu beliau di majlis Soi Lek menghina perundangan Islam tersebut akan memberi keuntungan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Najib juga sedar potensi isu tersebut akan diguna sebaik mungkin oleh PR untuk mempengaruhi pengundi Melayu meninggalkan Umno.
Mungkin juga ‘Think Tank’ Umno juga mempunyai pendirian yang sama.
Najib dan ‘Think tank’ Umno juga sedar bahawa telah cukup parah bagi Umno untuk meneruskan survival mereka dalam PRU13 akan datang.
Laporan dari pihak Tentera, polis, JASA dan Kemas memaksa beliau untuk menangguhkan PRU13 hingga ke suatu masa yang beliau sendiri tidak tahu.

Nurul Izzah Jadi Kambing Hitam
Menyedari ‘bahaya’ dari isu tersebut usaha untuk mengkambing hitamkan orang lain perlu dilakukan untuk menutup isu tersebut.
Budaya melarikan isu sebenar dari diketahui rakyat dengan amalan fitnah dan ‘apa saja’ merupakan asam garam yang telah diamalkan Umno lebih separuh abad.
Adalah sangat bodoh, tidak cerdik dan dungu sekiranya seorang ahli politik yang berpendidikan seperti Nurul Izzah Anwar membuat kenyataan menghalalkan murtad.
Kepada sesiapa pun sekiranya mendengar semua kenyataan beliau dalam sebuah forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” akan mendapati tiada langsung anak perempuan pemimpin pembangkang tersebut mengatakan demikian.
Forum yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris tersebut sememangnya mudah dimanipulasi oleh media milik Umno kepada orang melayu di kampung-kampung yang kebanyakkannya tidak faham bahasa tersebut.
Tindakan Nurul Izzah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan Mahkamah dan membuat laporan kepada JAIS terhadap fitnah yang di keluarkan oleh media milik Umno tersebut adalah jalan terbaik.
Seterusnya >>>

Umno mengapikan rakyat dengan manipulasi agama



KUALA LUMPUR 9 NOV: Serangan Umno melalui media kawalan mereka yang tergamak memanipulasi agama untuk mengapi-api rakyat adalah kerja jahat, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
“Beza kita dengan mereka, kita tidak guna agama dan kaum untuk serang sesiapa seperti yang mereka lakukan untuk serang saya.
“KEADILAN dan Pakatan datang dengan semangat Malaysia. Kita berjuang untuk semua bangsa” katanya di Bulatan Little India, Brickfields malam tadi.
Di sebalik hujan lebat sepanjang ceramah perdana Merdeka Rakyat bersempena sambutan Hari Deepavali dihadiri lebih 500 rakyat.
Ia turut diserikan dengan paluan gendang tradisional masyarakat india dan percikan bunga api.
Utusan Malaysia sebelum ini memutar belit kenyataan Nurul Izzah berkaitan fitnah akidah bagi meraih sokongan orang Melayu-Islam yang kian menyokong Pakatan.
Selain isu itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai menyatakan kekesalannya terhadap pembangunan di Brickfields yang tidak dirancang dengan baik.
“Perancangan pembangunan yang huru hara ini berpunca dari pemerintah yang angkuh dan sombong.
“Lihat apa yang berlaku kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields,” katanya.
Lot 18, tapak asal IPD Brickfields diberi kepada Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Mariany Yit yang pernah memegang jawatan penting dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Kita sedaya upaya memperjuang IPD itu dari diroboh kroni Umno. Rakyat mahukan pemimpin yang ikhlas bukannya yang zalim,” kata Nurul Izzah.
Seterusnya >>>

Tindakan undang-undang kepada Utusan, BH


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengarahkan peguam-peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog.
Ini, katanya berkaitan laporan berunsur fitnah aqidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari.

“Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan petang ini.
Seterusnya >>>

Nurul Izzah: Saya sama sekali tidak terima murtad

NONENaib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menafikan bahawa kenyataan beliau yang dibuat Sabtu lalu dalam satu forum awam menggalakkan umat Islam murtad.

"Saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad," tegasnya yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

"Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya, seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad," tegasnya lagi.

Anak sulung ketua umum PKR itu merujuk kenyataannya sebagai panelis dalam forum tersebut yang bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?"

Beliau dilapor berkata tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menerima ajaran agama tertentu dan perkara itu juga terpakai untuk orang Melayu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk 'Melayu bebas pilih agama?" dengan memetik laporan Malaysiakini berhubung kenyataan Nurul itu.
Seterusnya >>>

Kenyataan Hishammuddin bukti polis tidak bebas - Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Ahli parlimen PKR kawasan Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak memberi jaminan keselamatan bagi program anjuran Pakatan Rakyat (PR) sebagai gambaran jelas institusi polis negara tidak lagi bebas.
Hishammuddin dalam kenyataan semalam turut bertindak menyalahkan pihak PR sebagai punca tugas PDRM semakin meningkat berikutan tindakan memburukkan kerajaan dan menyuntik kebencian generasi muda terhadap pemimpin negara.
“Tanggungjawab ini semakin berat terutamanya untuk pastikan rakyat sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni.
“Sikap pembangkang yang memburukkan dan menanam kebencian telah meningkatkan lagi tugas polis,” kata Hishammuddin semalam.
Nurul Izzah berkata sebagai seorang menteri, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan membuktikan institusi polis selama ini hanya menurut perintah tuan mereka dan tidak menjalankan tugas dengan profesional.
“Kenyataan daripada Hishammuddin tidak boleh diterima dan melanggar tanggungjawab yang diberikan kepadanya, kalau kita memerintah kita akan pastikan orang seperti ini tidak jadi menteri,” kata Nurul dalam satu forum bertajuk “Creating a Rising Economic Tide that Lifts All Boats” hari ini.
Laporan daripada sebuah laman portal berita pada 15 September lalu mengundang rasa tidak puas hati Hishammuddin yang mengganggap kenyataannya telah diputar-belit dan menyifatkan ia berniat jahat, hinggakan mendapat perhatian pemimpin tinggi daripada PR yang bertindak menyerang dirinya.
Menurut Nurul Izzah lagi, institusi polis sepatutnya bebas dan bersih tidak terikat dengan mana-mana pihak tetapi sebaliknya yang berlaku apabila polis terpaksa mengikut telunjuk seorang menteri tanpa menghiraukan kesan persepsi buruk yang timbul selepas itu.
“Bukankah institusi polis sepatutnya bebas?
“Kenapa segalanya mesti ditentukan oleh pihak yang berkepentingan?
“Bukankah ini melanggar prinsip institusi polis yang mahu memberikan keadilan rakyat?” tegas Nurul lagi.
Insiden keganasan politik yang ditujukan kepada pemimpin PR menjadi topik yang diperkatakan mutakhir ini hingga menyebabkan terdapat gesaan campur tangan daripada pihak kementerian dan berkuasa.
.
Seterusnya >>>

Keganasan Politik: KDN Jangan Berat Sebelah


SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak menyiasat dakwaan Pakatan Rakyat (Pakatan) bahawa wujud satu rancangan intimidasi yang bertujuan menafikan hak rakyat berpolitik di negara ini.
Ini kerana dari Februari tahun ini sehingga kini, terdapat 11 kejadian intimidasi, keganasan dan kekerasan terhadap pemimpin, aktivis dan program Pakatan di seluruh negara.
Terbaru, Pengerusi Little India Joint Action Committee, S Pathavachalam menerima satu ugutan bunuh berbaur politik pada 16 Ogos lalu oleh seseorang bernama “Suddukattu Ravi”.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa individu tersebut mengugut untuk membunuh Pathavachalam kerana mempersoalkan projek pembangunan semula IPD Brickfields, Kuala Lumpur.
“Walaupun laporan polis dibuat, beliau telah menerima panggilan kedua dari individu yang sama mengulangi ugutan bunuh tersebut serta mengatakan tiada gunanya beliau membuat laporan kerana ‘polis dan kerajaan dalam tangan saya’,” kata Nurul Izzah.
Beliau berkata demikian di dalam satu memorandum yang diserahkan kepada pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya di sini semalam.
Memorandum itu dihantar oleh Nurul Izzah, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dan ahli majlis pimpinan pusat PKR, Sivarasa Rasiah.
“Kami memohon agar KDN menyiasat jika wujud satu perancangan sistematik intimidasi politik melalui insiden-insiden keganasan politik ini,” Nurul Izzah berkata.
Memorandum itu juga mendesak agar orang awam seperti Pathavachalam serta ahli-ahli keluarga mereka dilindungi dari ugutan hanya kerana berbeza pandangan politik.
Antara insiden yang disenaraikan memorandum itu ialah :
1) tindakan membaling batu, telur dan botol air mineral ke para hadirin dalam program ceramah perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung pada 24 Mei di PPR Pantai Permai, Pantai Dalam.
2) serangan batu dan telur ke atas program “hi-tea” anjuran dua ADUN DAP dan pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan di Merlimau, Melaka pada 19 Mei.
3) serangan terhadap rombongan Naib Presiden PKR, N. Surendren ke Pejabat Perdana Menteri pada 2 Mei, Putrajaya yang mengakibatkan seorang ahli PKR, Murali mengalami kecederaan.
4) serangan terhadap dua ahli DAP iaitu Ganabatirao dan Raidu di Taman Mutiara, Jalan Meru, Klang pada 30 Mei yang mengakibatkan mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami tulang retak, hidung dan tangan patah.
5) ugutan kekerasan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta serangan ke atas dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh oleh ahli-ahli Umno dan Perkasa sewaktu perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota, Pulau Pinang pada 26 Feb.
.
Seterusnya >>>

Kedatangan PM tak mampu atasi gelombang perubahan Sabah


KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendakwa perdana menteri takut dengan peralihan sokongan di Sabah apabila mahu melawat negeri itu selepas dua anggota parlimen BN beralih arah kepada Pakatan Rakyat.
“Beliau takutkah? Saya ingatkan sebelum ini beliau cakap semuanya baik-baik sahaja dalam BN,” kata Nurul Izzah sinis, merujuk kepada lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hari ini.
Najib semalam mengumumkan yang lawatannya ke Sabah bertujuan mengukuhkan kedudukan BN di negeri itu.
Lawatan itu berlangsung selepas ahli Parlimen Tuaran Wilfred Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort Lajim Ukin menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Pakatan minggu lepas.
Pada masa sama, beliau tidak yakin lawatan Najib ke Sabah akan membawa sebarang perubahan baik secara langsung kepada penduduk negeri itu.
“Saya tak rasa dia ada keberanian yang diperlukan untuk melakukan perubahan,” katanya lagi.
Pada masa sama, pengumuman terma rujukan suruhanjaya diraja (RCI) berkenaan pendatang asing di Sabah yang akan dibuat Najib juga tidak mengganggu momentum sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu, katanya petik MalaysiaKini.
“Saya harap semua pimpinan dari parti mana sekali pun teruskan agenda perubahan di Sabah.
“Kalau Najib hendak tawar insentif apa-apa sekali pun, kami tidak akan berganjak dengan agenda perubahan kami.
“Kami sendiri pun sudah lama berikrar mahu menubuhkan RCI, dan memberikan royalti sebanyak 20 peratus kepada Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Najib meluaskan terma RCI untuk menyiasat dakwaan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum.
“Kita tidak mahu RCI fokus kepada Sabah sahaja tetapi juga turut fokus kepada seluruh Malaysia.
“Kita tak mahu kewarganegaraan dijual tanpa rasa tanggungjawab,” katanya.
.
Seterusnya >>>

Nurul Izzah: Najib turun Sabah sebab takut


Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa perdana menteri takut dengan peralihan sokongan di Sabah apabila mahu melawat negeri itu selepas dua anggota parlimen BN beralih arah kepada Pakatan Rakyat.

"Beliau takutkah? Saya ingatkan sebelum ini beliau cakap semuanya baik-baik sahaja dalam BN," kata Nurul Izzah sinis, merujuk kepada lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hari ini.

Najib semalam mengumumkan yang lawatannya ke Sabah bertujuan mengukuhkan kedudukan BN di negeri itu.

Lawatan itu berlangsung selepas ahli Parlimen Tuaran Wilfred Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort Lajim Ukin menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Pakatan minggu lepas.
.
Seterusnya >>>

'Kalau saya jadi pegawai p'raya, YB tidak akan menang lagi''

NONE

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, seorang bekas pegawai pilihan raya yang menjaga parlimennya pada tahun 2008 memberitahunya beliau tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang sekiranya pegawai tersebut kembali menjaga kawasannya.

Dalam ucapan di majlis makan malam anjuran PKR Lembah Pantai malam tadi, Nurul Izzah berkata, beliau terjumpa dengan pegawai pilihan raya yang enggan namanya disebut itu selepas berjumpa dengan Datuk Bandar petang semalam.

"Saya sebenarnya tidak sengaja bertemu dengan bekas pegawai pilihan raya pada tahun 2008 yang mana dia yang mengumumkan kemenangan saya pada pukul 2 pagi pada ketika itu.

"Saya jumpa dan saya kata pada dia, ''selepas ini, jaga Lembah Pantai lagi ke?'' Kita perlu berbaik dengan semua orang. Itu yang diajar walaupun kita mempunyai latar belakang politik yang berbeza.

"Tetapi dia jawab ''Tidak, kalau saya jadi pegawai pilihan raya Lembah Pantai, YB tidak akan menang lagi''," kata Nurul Izzah kepada kira-kira 1,000 orang hadirin.

Majlis makan malam tersebut diadakan di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Thien Hau Temple.

Ia turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, kata Nurul Izzah berkata, beliau akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perbualannya dengan pegawai tersebut.

Katanya, tindakan pegawai tersebut bukan sahaja biadap tetapi turut tidak mempamerkan sikap SPR yang dikatakan akan melaksanakan transformasi dalam pilihan raya.

''Bolehkah anda semua bayangkan, dalam pada SPR cakap akan laksanakan transformasi, SPR sudah melaksanakan semua tuntutan BERSIH, tapi bila jumpa pegawai pilihan raya yang akan menjadi pegawai pilihan raya lagi, boleh kata ''kalau jaga Lembah Pantai YB tidak akan menang lagi''.

''Bagi saya ini tindakan yang biadap. Saya akan pastikan saya menulis surat kepada SPR tentang perbualan ini. Anda suka ke, tak suka ke parti itu, kerja perlu profesional, perlu objektif," kata Nurul Izzah lagi.

Sementara itu, majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan daripada 'Elvis Presley Malaysia', HT Long,  yang menyanyikan dua buah lagu. Antara lagu yang dinyanyikan berjudul 'Now or Never'. Anwar yang menghafal lirik lagu tersebut turut secara spontan naik ke atas pentas dan bernyanyi bersama sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.
.
Seterusnya >>>

Konon mansuh Akta Hasutan bukti Najib demokrat palsu – Izzah

KUALA LUMPUR 12 Julai: Rakyat Malaysia sekali lagi disajikan ‘transformasi’ layu lagi lesu pentadbiran Perdana Menteri apabila mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan bakal diganti dengan akta baru iaitu Akta Keharmonian Nasional.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, rekod pentadbiran Najib Razak jelas membuktikan usaha ‘transformasi’ yang tidak lain hanya helah politik untuk tidak melaksanakan reformasi politik yang telus, menyeluruh, dan dituntut segenap rakyat.
“Walaupun pemansuhan Akta Hasutan ini kelihatan positif, namun sebenarnya rekod Najib dengan terang menunjukkan beliau adalah seorang demokrat palsu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai ini, salah satu contoh rekod buruk Najib ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuh dan diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang juga sama zalim seperti ISA.
Selian itu, kata Izzah, penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan mengekang hak rakyat berhimpun secara aman, terutama apabila Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin dituduh bersalah di bawah akta ini berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
“Akta Keterangan (Pindaan) 2012 berusaha mengekang hak rakyat untuk bersuara, terutama di media atas talian seperti blog, facebook dan twitter, malah mengguna pakai prinsip ‘bersalah hingga dibukti tidak bersalah’,” tambah beliau.
Justeru, KEADILAN menggesa Najib mansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa menggantikannya dengan sebarang akta yang mempunyai kuasa drakonian yang sama.
“Ibarat menggantikan tubuh badan anti-demokrasi dengan baju baru drakonian yang sama lusuh, demi membuktikan beliau seorang demokrat sejati dan bukan palsu,” sindir Izzah.
Najib juga digesa agar mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) yang bersifat bi-partisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional.
“JKP ini harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum,” kata Izzah.
.
Seterusnya >>>

Anak bekas menteri dapat RM280 juta projek sistem kawalan trafik berbahaya


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendapati, projek sistem baru kawalan trafik yang mengancam ruang udara negara diberi kepada keluarga menteri.
Menurutnya, dalam carian syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tertera nama Ikhwan Hafiz Jamaluddin iaitu ahli keluarga bekas Menteri sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd.
“…Saya tanya, dan ini belum dijawab oleh Kementerian (Pengangkutan),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Naib Presiden KEADILAN itu turut mempersoal adakah menjadi norma Kerajaan Umno BN menganugerahkan satu daripada projek kerajaan kepada keluarga menteri.
“Apakah alasan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memberi kontrak sistem yang cukup penting ini secara rundingan tertutup?” soalnya lagi.
Beliau turut menunjukkan salinan dokumen dari SSM kepada media yang mempamerkan Ikhwan Hafiz Jamaluddin, 25, sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd.
Tirai Variasi adalah pemegang saham utama Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak bernilai RM280 juta itu.
Apabila ditanya wartawan mengenai kesahihan dakwaan tersebut, Izzah menjawab, kementerian patut menafikannya jika dakwaan itu tidak benar.
“Sekali lagi, saya persoalkan nama tersebut dan (saya) belum terima sebarang jawapan,” katanya.
“Saya sudah hantar surat pertanyaan (kepada Kementerian Pertahanan dan DCA) sebelum ini, namun masih belum terima maklum balas dari mereka,” jelas Izzah lagi.
Bagaimanapun, carian media mendapati Ikhwan adalah anak kepada Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Pada 8 Jun lalu, Izzah bersama-sama Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dan Tian Chua menyerahkan memorandum kepada DCA mengenai sistem baru Human Trafic Interface yang membahayakan ruang udara negara.
Sistem itu turut dibangunkan bersama syarikat Selex Sistemati Integrati dari Itali yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah di Itali, Cyprus, Panama dan Namibia.
.
Seterusnya >>>

Adakah apa yang kerajaan buat semuanya halal?



Saya terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai fatwa berikut:

'Adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik.'

Pertama, perhimpunan BERSIH 3.0 untuk pilihan raya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihanraya bebas dan adil tidak haram?

Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?

Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am -adakah semuanya haram?

Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."

Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?

Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen 26A (2) dan (3)), persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?

Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihanraya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?

Sebagai makluman, saya telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : Y.B. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR
[LEMBAH PANTAI]
TARIKH : 22 MAC 2012 [KHAMIS]

SOALAN :
Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

JAWAPAN: (Y.B SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI)

Tuan Yang di-Pertua,

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil.

Sekian, terima kasih


Malangnya jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan di atas agar kesucian Islam terpelihara.
.
Seterusnya >>>

KEADILAN tampil bela nasib penduduk dihalau pejabat tanah


KUALA LUMPUR 3 April: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memohon Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) memberi penangguhan bagi 34 keluarga penduduk Flat Kg Kerinchi yang diarahkan pejabat tanah untuk berpindah.
“Penduduk akur dengan Akta Tanah 1960 dan setuju untuk pindah. Apa yang diminta adalah pihak berkuasa menangguh pemindahan sehingga 1 Julai, dan menyelesaikan beberapa masalah yang timbul dahulu,” katanya.
Nurul Izzah berjaya berbincang dengan wakil PPTGWP, Mohd Salleh untuk meminta penangguhan, dan Mohd Salleh bersetuju memberi masa selama seminggu kepada 34 keluarga itu untuk berpindah.
Perbincangan antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan wakil penghuni Flat Kg Kerinchi dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) berjaya memberi masa seminggu lagi kepada 34 keluarga terlibat untuk mengosongkan kediaman mereka.
Katanya, penduduk sememangnya akur dengan Akta Tanah 1960 yang menuntut mereka mengosongkan kediaman, namun meminta masa untuk berpindah dan selepas beberapa perkara seperti PPR mereka selesai.
“Rumah PPR untuk mereka pun belum tersedia. Jadi ke mana mereka mahu pindah?
“Kami menuntut supaya pihak berkuasa mengikut prosedur yang ditetapkan, dan bukan menghalau mereka dengan cara ini. Mereka adalah pemilik sah flat ini,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Sukarelawan PKR ditahan ketika membuat tinjauan pengundi


PETALING JAYA: Dua sukarelawan pejabat PKR Lembah Pantai yang menjalankan tugas tinjauan pengundi pada hari ini telah ditahan polis atas tuduhan menyamar sebagai pegawai kerajaan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya.
Mereka yang ditahan dikenal pasti sebagai Muhammad Hanan Asyraf Rozani, 22, dan Mohd Ridhwan Jahari 23, telah ditahan di kawasan flat projek perumahan rakyat Kampung Limau dan masih ditahan polis.
Menurut setiausaha politik Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Fahmi Fadzil berkata kedua-dua mereka menjalankan tugas bancian untuk mengesan pengundi hantu.
“Pejabat PKR Lembah Pantai mengadakan survei sejak tiga hari yang lalu.
“Pada hari Sabtu, sukarelawan kami dihalau dari menjalankan survei.
“Pada hari Ahad, Umno Lembah Pantai mendakwa bahawa kita menghantar orang yang menyamar sebagai pegawai SPR.
Menurut Fahmi kedua-dua petugas diwakili oleh tiga peguam – Puspa Rosman, Murni Hidayat dan Afiq M Noor dari kumpulan NGO, Lawyers for Liberty.
Nurul turut memberi keterangan pada pukul 5 petang dan diganggu oleh ahli Umno Lembah Pantai dengan jeritan ‘anak penyokong Israel’.
Fahmi turut menambah: “Umno Lembah Pantai tidak sepatutnya mengganggu aktiviti sah yang dijalankan oleh ahli parlimen.
Seterusnya >>>

Pembatalan SBPA bukti kegagalan berterusan kerajaan


KEADILAN mengalu-alukan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang baru diumumkan hari ini.  Namun, pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan UMNO-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan dasar-dasar yang begitu penting sebegini.

Kegagalan Kerajaan UMNO-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah.  Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya "sudah terhantuk baru terngadah" diambil oleh Perdana Menteri hari ini.

Secara tuntas, berikut merupakan prinsip-prinsip yang wajib diterima pakai oleh kerajaan yang prihatin terhadap nasib pekerja:

1. SSM (Skim Saraan Malaysia) yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan.  Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji "sara hidup" ("living wage"), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2. SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3. SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4. SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5. SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Akhir sekali, KEADILAN meletakkan keyakinan bertunjangkan perkhidmatan awam sebagai penggerak pembangunan negara yang terutama, dan mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mengenepikan suara mereka.
Seterusnya >>>