Nasharuddin Nafi Ditolak Pas Kelantan

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa menafikan beliau telah ditolak PAS Kelantan berikutan pendiriannya menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang mendapat kritikan hebat daripada pemimpin nombor satu parti itu.

Beliau enggan mengulas lanjut perkara itu biarpun perkara tersebut telah dibangkitkan perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-56 semalam, yang mempersoalkan gambar Nasharuddin tidak dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas perasmian muktamar PAS tersebut, Nasharuddin berkata ringkas; "Saya tidak mahu gambar saya disiarkan."

Bagaimanapun semalam Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama PAS Pusat, Abdullah Abdul Razak berkata gambar Nasharuddin tidak diletakkan disebabkan memberi keutamaan hanya kepada gambar pimpinan tertinggi sahaja.

Nasharuddin, Anggota Parlimen Bachok, merupakan beberapa pemimpin selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan penubuhan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah pembentukan kerajaan perpaduan itu kerana ia bercanggah dengan keputusan muktamar parti sebelum ini serta pengalaman pahit parti itu tersingkir daripada kerajaan negeri Kelantan setelah bekerjasama dengan Umno pada 1970-an.

Ketegangan itu memuncak apabila Nik Abdul Aziz sendiri meminta Nasharuddin meletak jawatannya jika ingin meneruskan kerajaan perpaduan, bagaimanapun ia reda apabila kesemua pemimpin PAS mengambil keputusan untuk tidak membincangkan perkara itu.

Sementara itu pada sidang media yang sama Abdul Hadi berkata PAS tidak mahu mengambil sikap terburu-buru untuk menerajui pakatan pembangkang.

Beliau berkata PAS tidak akan gopoh untuk merebut gelaran parti peneraju kerana percayakan kepada perbincangan bersama dengan parti komponen Pakatan Rakyat.

"Sebarang keputusan kita akan buat secara kolektif dengan parti di dalam pakatan rakyat termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

- Bernama

0 Komen pengunjong :