SHAH ALAM 17 JUL : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri
Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa beliau dan timbalannya, Datuk
Wan Ahmad Wan Omar merupakan kenalan rapat pembekal dakwat kekal yang
digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
Dalam satu kiriman ‘Sistem Pesanan Ringkas’ (SMS) kepada TVSelangor,
Abdul Aziz memberitahu beliau dan Wan Ahmad tidak mempunyai sebarang
kaitan dengan syarikat yang didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi
Ramli di Dewan Rakyat semalam.
“Saya dan timbalan saya dengan tegas menafikan dakwaan MP Pandan itu.
“Hal-hal yang berkaitan dengan operasi pentadbiran perolehan diuruskan oleh Urusetia SPR.
“Panel SPR hanya menentukan keputusan dasar dan hala tuju sahaja,” ujar beliau.
Di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat semalam, Rafizi mendedahkan
nama seorang individu, Mohamed Salleh Mohamed Ali daripada Singapura
yang didakwa pemilik kepada syarikat pembekal dakwat kekal yang mencetus
kontroversi pada PRU13 lalu.
Syarikat Mohamed Salleh, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd, didakwa
mendapat kontrak membekal dakwat tersebut melalui proses rundingan
terus.
Parti Pakatan Rakyat dan beberapa NGO telah memfailkan laporan polis
terhadap SPR dengan mendakwa dakwat tersebut boleh dihilangkan dengan
membasuh tangan dengan sabun selepas dicalit.
Rafizi mendakwa Mohamed Salleh adalah seorang pakar rundingan terus
yang juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara termasuk
Pengerusi SPR dan Timbalannya.
Kata Rafizi lagi, selain membekalkan dakwat tersebut, syarikat itu
mendapat kontrak pembekalan peralatan lain pada PRU13 termasuk topi dan
t-shirt, selain pernah mendapat kontrak secara rundingan terus dariapda
Kementerian Pertahanan.
Pendedahan Pakar Strategik PKR itu dibuat susulan tindakan SPR yang
sering berdolak dalih dan tidak mendedahkan nama pembekal dakwat
berkenaan biarpun berkali-kali didesak berbuat demikian.
Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan
Kassim berkata, kos pembelian dakwat kekal yang tidak kekal itu
meningkat tiga kali ganda daripada RM 2.4 juta kepada RM 7.1 juta pada
PRU13 lalu.
0 Komen pengunjong :