Datuk
A Samad Said mengatakan pengakuan dilakukan oleh pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) yang kesal kerana kegagalan dakwat kekal untuk
berfungsi dengan baik semasa Pilihan Raya 2013 membuktikan badan
penggendali pilihan raya itu bersalah.
Menurut pengerusi bersama Bersih 2.0 itu, pengakuan Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusuf membuktikan pilihan raya umum 5 Mei tidak berjalan
dengan baik dan oleh itu beliau seharusnya berundur.
“Bunyinya agak tidak sedaplah. Tetapi secara hormat, sesudah
mengetahui beberapa kesilapan, eloklah dia undur, letak jawatan,” kata
beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad apabila ditemui oleh The
Malaysian Insider pagi ini.
“Jadi dia harus, harus lakukan itu. Jadi pengakuannya itu, bagi saya
ialah satu penerimaan bahawasanya apa yang berlaku itu memang betul dia
bersalah,” tambah beliau lagi.
Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu yang disiarkan
semalam, pengerusi SPR menyatakan kekecewaan berhubung dengan kegagalan
penggunaan dakwat kekal.
"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling
menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," katanya
kepada Sinar Harian.
Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Negara mempersoalkan mengapa
SPR tidak menguji keberkesanan dakwat kekal sebelum membenarkan ianya
digunakan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.
“Tidakkah SPR mengujinya dulu? Dia terus sahaja untuk mempercayai.
Itu tidak boleh saya fikir ini sebab untuk memberi hak ni, memberi
kuasa.
“Saya harap dia berkata itu jujur, sebab itu adalah pengakuan dia bahawasanya memang pilihan raya itu tidak murni,” katanya.
Pengerusi bersama Bersih 2.0 itu juga turut menyarankan kepada
penyokong-penyokong mereka agar beramai-ramai menghadiri perhimpunan
#Black505 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok,
Kuala Lumpur pada 22 Jun.
“Kita menyarankan, ataupun merayu supaya ahli-ahli lebih banyak untuk menyertainyalah.
“Kalau Ambiga sendiri sudah kata turun ke jalan raya, jadi kita turun
ke jalan rayalah,” kata beliau merujuk kepada seorang lagi pengerusi
bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata semalam, kegagalan dakwat kekal
untuk berfungsi dengan baik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk
menuduh SPR membenarkan pengundi mengundi lebih daripada sekali atau
melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.
Abdul Aziz mendakwa kaedah itu - yang disyorkan oleh Jawatankuasa
Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya
telah menguji beberapa kali sebelum dilaksanakan pada 5 Mei lalu.
"Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat
apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana
silapnya?
"Memang sedih tapi kita tidak berdiam diri. Kita tubuhkan pasukan
khas, yang dipengerusikan Datuk Christopher Wan Soo Kee dibantu dua ahli
panel lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin,"
katanya.
PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh
negara semenjak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam Pilihan
Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa
walaupun kehilangan undi popular. – 18 Jun, 2013.
0 Komen pengunjong :