Pada ulangtahun ke 44 tragedi rusuhan 13 Mei 1969, rakyat
Malaysia terus diingatkan bagaimana mereka telah membuat pilihan yang
tepat pada PRU ke 13 dengan menolak BN dan UMNO yang perkauman. 51%
rakyat Malaysia telah memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat dan menolak
kebencian kaum yang dibawa BN dan UMNO, diperlihatkan daripada seruan
akhbar UMNO, Utusan Malaysia untuk menyambut 13 Mei sebagai ‘hari suci’,
seolah-olah mahu meraikan kematian ratusan malah mungkin ribuan rakyat
Malaysia yang tidak berdosa.
Walaupun majoriti rakyat Malaysia dari kalangan Melayu, India, Cina,
Kadazan dan Iban telah menolak politik ketakutan dan kebencian BN,
pemimpin UMNO terus mencetuskan kebencian kaum terhadap orang bukan
Melayu. Hari ini kita melihat calon UMNO/BN yang kalah di Shah Alam
berbohong bahawa kononnya DAP mahukan Melayu mati dan Lim Kit Siang
mencetuskan rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur, walaupun Lim Kit Siang
berada di Sabah pada waktu itu.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin
UMNO, Datuk Mohd Noor Abdullah mengugut masyarakat Cina supaya bersedia
untuk tindak balas masyarakat Melayu kerana ‘pengkhianatan’ mereka dalam
PRU ke-13 yang baru selesai. Datuk Mohd Noor pastinya merujuk kepada
tindak balas Melayu UMNO dan bukan orang Melayu yang mengundi DAP dan
pakatan Rakyat. Bagaimana mungkin seorang hakim boleh menjadi begitu
tidak rasional dan tidak masuk akal sehingga sanggup mengatakan bahawa
dengan mengundi parti berasaskan Melayu, PAS dan PKR, dan bukan UMNO,
maka orang Cina sudah mengkhianati orang Melayu?
Kenyataan sedemikian oleh pemimpin UMNO nyata telah menimbulkan
kemarahan bukan sahaja orang Cina tetapi seluruh rakyat Malaysia. Ketua
Pembangkang Pakatan Rakyat merangkap calon Perdana Menteri, datuk Seri
Anwar Ibrahim telah dengan tepat menggambarkan kenyataan perkauman Datuk
Mohd Noor sebagai ‘memalukan Klu Klux Klan (KKK) dan membanggakan
diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler’. KKK adalah sebuah pertubuhan haram
ultra-kulit putih yang menindas orang kulit hitam, dan Hitler adalah
rasis paling agung dalam sejarah dunia. Anwar berjanji bahawa Pakatan
Rakyat akan memperlihatkan perbezaan yang jelas berbanding UMNO dengan
tidak menyebarkan perbalahan kaum tetapi menyebarkan kedamaian dan rasa
hormat sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Bolehkah Datuk Mohd Noor memperlihatkan bukti bagi menyokong
tuduhannya bahawa orang Cina sedang mengatur untuk merampas kuasa
politik daripada orang Melayu? Sekali lagi, kenyataannya yang mengugut
untuk merampas harta dan hak orang bukan Melayu adalah satu usaha besar
menutup kegagalan menjawab isu rasuah oleh sekalian Melayu, Cina dan
India dalam BN.
Apa yang telah Mohd Noor lakukan sebagai ahli jawatankuasa aduan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi rasuah,
terutamanya skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, yang hilang
sebelum sempat sampai kepada Melayu dan Bumiputera miskin? Kalau
Pakatan Rakyat telah menang kuasa, suatu siasatan penuh pastinya akan
dilakukan dan memaksa mereka yang telah ‘menelan’ RM52 bilion itu untuk
membayar balik kepada rakyat Melayu dan Bumiputera miskin. Sama juga,
RM3 bilion yang dicuri daripada masyarakat India dan RM14 bilion
daripada masyarakat Cina mesti dikembalikan.
Apabila Suruhanjaya Pilihanraya dan SPRM membenarkan siasatan politik
wang dan rasuah dikompromi, jalan mudah untuk keluar ialah dengan
mengeksplotasi kebencian kaum bagi menyorokkan kegagalan mereka. Kenapa
Datuk Mohd Noor tidak terfikir pun tentang Melayu miskin yang terlepas
saham RM52 bilion? Kenapa Datuk Mohd Noor tidak mendesak supaya tindakan
diambil terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang
enggan bekerjasama dengan SPRM serta mencabar dan menyerang SPRM yang
disebutnya sebagai tidak jujur dan ‘nakal’?
Bagi seorang Ketua Menteri Sarawak, tindakan beliau yang enggan
bekerjasama dengan pihak SPRM tentang tuduhan rasuah terhadapnya adalah
satu pelanggaran serius terhadap tugas dan tanggungjawab. Di bawah
Sekseyn 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan bekerjasama dengan SPRM
apabila seseorang disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh
dihukum dengan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun
atau kedua-duanya sekali. Begitu pun SPRM gagal bertindak terhadap Taib
Mahmud tanpa sebarang protes daripada seorang bekas hakim seperti Datuk
Mohd Noor.
Mampukah UMNO membuktikan ciri-ciri 1Malaysia nya dengan bertindak
terhadap Datuk Mohd Noor kerana mencetuskan kebencian, ketakutan dan
mengugut masyarakat Cina supaya bersedia menerima tindak balas daripada
Melayu UMNO? Jika UMNO gagal berbuat demikian, UMNO tidak patut
menyalahkan MCA atau Gerakan kerana gagal mendapatkan sokongan
bukan-Melayu tetapi mesti bertanggungjawab sepenuhnya kerana
mengakibatkan kejatuhan merudum dalam pilihanraya bagi kedua-dua MCA dan
Gerakan.
Polis tahan kambing gemar kejar orang
17 hours ago
0 Komen pengunjong :