KUALA LUMPUR 14 MEI: Datuk Thamrin Ghafar mendedahkan rahsia
kemenangan Umno BN yang terus memperalatkan rakyat luar bandar melalui
‘pemberian kenang budi’ agar mereka terus memberikan sokongan setiap
kali pilihan raya.
Menurutnya, melalui pemberian ini masyarakat luar bandar akan terus
dibiarkan hidup miskin dan mereka mengambil kesempatan di atas keadaan
berkenaan.
“Malangnya pengundi-pengundi Melayu di luar bandar mereka adalah
golongan miskin. Terpaksa menerima RM500, apabila terima, mereka rasa
terhutang budi.
“Semasa saya lama di dalam Umno dahulu ini adalah rahsia kemenangan Umno.
“Umno BN boleh terus berkuasa di atas kemiskinan rakyat di luar
bandar,” katanya pada Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan
Demokrasi malam tadi.
Selain itu, modus operandi meniupkan sentimen perkauman masih
diteruskan Umno BN meskipun peristiwa hitam 13 Mei 1969 sudah 44 tahun
berlalu oleh kerana ‘The Devils Is Still Around’.
“Malam ini saya ingin ulang apa yang saya sebutkan di Gelang Patah dan saya bersedia berdepan tindakan.
“Sebenarnya peristiwa 13 Mei adalah dirancang oleh pemimpin-pemimpin
Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj dan nak menaikkan Tun Razak,” katanya, dipetik
Media Selangorku.
Thamrin menambah, Mahathir merupakan pendendam kerana sejak beliau
menjadi Perdana Menteri, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan
penentang utama.
Justeru, beliau mencadangkan agar satu Gerakan Anti Perkauman (GAP)
ditubuhkan bagi membendung budaya perkauman yang cuba dihidupkan kembali
oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
“GAP turut akan libatkan penyertaan peguam. Mana-mana pimpinan yang
mengeluarkan kenyataan perkauman akan diheret ke mahkamah,” ujarnya
lagi.
Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi yang
diadakan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH)
menyaksikan kehadiran hampir 1,000 penyokong demokrasi yang menuntut
perubahan ekoran dakwaan terlalu banyak kecurangan semasa pembuangan
undi 5 Mei lalu.
0 Komen pengunjong :