Khalid Ibrahim lafaz 10 akujanji sebagai MB Selangor


KLANG, 14 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah.
Pada istiadat itu, Abdul Khalid sambil memegang sebatang tombak yang matanya berbalut kain kuning, turut melafazkan 10 akujanji jawatan Menteri Besar untuk dilaksana sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Akujanji itu termasuk akan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri, mematuhi kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak serta melaksanakan tugas beliau dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.
Menteri Besar juga berjanji memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri; memelihara hubungan baik kerajaan Persekutuan dan negeri lain dalam Persekutuan serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah dan kerjasama antara kaum.
Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berlangsung di Balairong Seri Istana itu pada jam 10 pagi.
Turut hadir isteri Abdul Khalid, Puan Sri Salbiah Tunut, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi.
Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU-12 2008.
Beliau adalah orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Semua 13 MB Selangor sebelum ini ialah daripada UMNO, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).
Pada PRU-13, gabungan parti PAS, PKR dan DAP (PR) memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

0 Komen pengunjong :