DAP ‘tidak berminat langsung’ untuk sertai BN - Guan Eng


KUALA LUMPUR, 10 Mei — DAP tidak berminat langsung untuk menyertai Barisan Nasional (BN) kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng menjawab cadangan daripada bekas menteri penerangan dari Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin baru-baru ini.
Menurut Lim, jika DAP mahu, mereka sudah boleh menyertai BN 40 tahun lalu akan tetapi parti itu berpegang teguh kepada idealisme, prinsip dan polisi ke arah Malaysia yang lebih adil, bebas dan demokratik.
“DAP tidak berminat langsung untuk menyertai BN demi jawatan, kerana jika kami mahu, kami telah buat begitu 40 tahun lalu,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Sekiranya pemimpin DAP boleh berpegang teguh dan bersatu hati di saat ia kalah dalam pilihan raya, tidak sangsi lagi bahawa DAP akan tetap bersatu hati sekarang ketika ia berjaya memenangi jumlah kerusi tertinggi dalam sejarah parti, iaitu sebanyak 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN,” tambah beliau lagi.
Setiausaha agung DAP itu mengatakan, cadangan untuk menyertai BN ini dibuat oleh seorang Ahli Parlimen MCA dan seorang bekas menteri Umno yang rasis dan bertujuan melemahkan kempen PR menuntut reformasi pilihan raya dan memecahkan perpaduan gabungan tersebut.
“Keperluan reformasi pilihan raya ini adalah sorotan daripada ketidakadilan dalam keadaan Pakatan Rakyat menang undi popular di PRU ke 13 tetapi tidak berjaya mendapat kuasa pentadbiran daripada BN.
“Bagaimana mungkin BN menang kuasa di Perak padahal Pakatan Rakyat menang 55% undi popular? Sama juga bagaimana BN terus berkuasa di Kerajaan Persekutuan padahal Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular, peningkatan 3% undi tersebut yang mebolehkan Pakatan Rakyat menambah 7 kerusi Parlimen daripada 82 ke 89,” katanya.
Semalam, Penasihat DAP Lim Kit Siang menegaskan “tiada pertimbangan” untuk parti politik DAP menyertai musuh ketat mereka BN.
“Saya tidak akan mempertimbangkan perkara itu tetapi kita menantikan cadangan seperti itu diutarakan,” kata Penasihat DAP itu kepada pemberita semalam.
Zainuddin baru-baru ini menyarankan DAP supaya menyertai BN bagi memastikan kerajaan Malaysia diwakili kaum Cina.
Katanya langkah itu memang sukar diterima oleh DAP dan BN serta penyokong masing-masing tetapi perlu dilakukan demi keharmonian dan kestabilan politik negara.
“Memang sukar untuk DAP menawarkan diri dan sukar juga untuk kerajaan BN menerimanya, tetapi hal ini harus dilihat dari segi hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melangkah ke arah national reconciliation setelah negara dilanda Tsunami Cina yang mencedera parahkan nilai kejatian diri Malaysia,” katanya dalam blognya Zamkata.
Kenyataan Zainuddin dikeluarkan selepas MCA gagal memperbaiki prestasi mereka berbanding Pilihan Raya 2008 yang memenangi 15 kerusi.
Kali ini parti itu hanya menang tujuh kerusi, menyebabkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengotakan janjinya parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.
Gerakan, yang juga komponen BN turut mengalami nasib sama apabila prestasi mereka menurun, dan akan mengikut jejak langkah MCA.
“Bukan disebabkan kalah teruk, tak bermakna kamu perlu menolak jawatan itu.
“Kita boleh menerima atau menolak jawatan itu sekiranya berlaku perbezaan dalam polisi kerajaan, kamu boleh menolaknya,” kata Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn dipetik laporan akhbar The Star.
BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk Parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.
Daripada 89 kerusi dimenangi PR, DAP memperolehi kerusi terbesar iaitu 38 kerusi.
BN turut hilang undi popular kepada PR, pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Perikatan.

1 comment :

  1. Tahniah DAP dgn pendirian tu.umporno be end ni bila terdesak mula la cari musuh2 depa utk bergabung.tak guna punya perangai.

    ReplyDelete