Dakwa kemenangan Pakatan dirompak, mahukan SPR baru


KUALA LUMPUR, 7 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya 2013 telah dirompak oleh Barisan Nasional (BN) dan mahukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digantikan dengan sebuah suruhanjaya baru yang lebih bebas, adil dan telus untuk mengendalikan proses pilihan raya negara ini.
Menurut Anwar, PR sebenarnya sudah menang pilihan raya umum ke 13 (PRU13) akan tetapi berlaku penipuan yang disokong SPR sehingga menyebabkan gabungan tersebut kalah.
“Kita sudah menang tetapi kemenangan itu dirompak oleh BN...,” kata beliau dipetik dari laman Sinar Harian Online.
“Kita sepatutnya menang pilihan raya ini kerana kita dapat 50.3 peratus undi popular berbanding BN (46.8 peratus). Saya akan mengabdikan tenaga dan masa saya untuk bekerja dengan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) untuk memastikan pilihan raya umum yang adil dan bersih terus diperjuangkan,” tambah beliau lagi.
Menurut ketua umum PKR itu, bukti besar berlakunya penipuan adalah menerusi undi awal dan pos.
Pihaknya mengesyaki sesuatu apabila PR hanya memperoleh sekitar 12 peratus undi pos dan awal.
“Tak kan 12 peratus sahaja diberikan kepada kita? Kalau kita lihat undi luar negara, itu 70 hingga 80 peratus (nampak) memihak PR daripada apa yang dimaklumkan tetapi bila buka undi,  kita dapat 12 peratus, 15 peratus,” katanya.
Terdapat seramai 272,387 daripada 13.3 juta pemilih berdaftar di negara ini adalah pengundi awal.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengatakan penipuan diperkukuhkan dengan lagi dengan kemunculan pengundi mencurigakan didakwa warga asing dari Bangladesh, Myanmar dan sebagainya.
“... pegawai SPR mengeluarkan kertas undi keluar yang ditangkap dengan dokumen ada dalam video seperti, yang kita tayangkan sebahagian semalam, pemadaman lampu.
“Seperti kes di Lembah Pantai, terpaksa dikawal dengan begitu keras sekali. Kalau tidak, Nurul Izzah akan tewas. Ini apa? Ini lambang penipuan dan politik samseng,” tegas Anwar.
Dalam Pilihan Raya 2013, BN berjaya mengekalkan Putrajaya dengan mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang mendapat 89 kerusi.
Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 semalam berkata mereka tidak akan mengiktiraf kerajaan BN sehingga selesai laporan penipuan undi.
BN memenangi pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti yang lebih kecil, kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada PR, selain gagal merampas Selangor dan Pulau Pinang, kedua-dua negeri paling kaya dan maju di Malaysia.

0 Komen pengunjong :