KUALA
LUMPUR, 7 Mei — Keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah semudah “tsunami
Cina” seperti didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak akan tetapi peralihan
besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara
bandar-luar bandar Malaysia semakin luas, kata penganalisis.
Dalam bacaan awal mengenai trend pengundian, penganalisis menyatakan
walaupun terdapat peningkatan dalam sokongan kaum Cina terhadap Pakatan
Rakyat (PR), tsunami politik juga telah melanda “sebahagian besar
daripada Melayu”, ramai di antara mereka adalah pengundi kelas menengah
dan kelas atas.
“Mereka mendapat sokongan kelas menengah, terutamanya di kawasan
bandar,” kata penganalisis politik Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin
kepada
The Malaysian Insider, merujuk kepada PR.
“Jadi, majoriti DAP meningkat kerana rasa tidak puas hati pengundi
muda Melayu.. kesimpulannya, untuk melabel polarisasi kaum adalah
terlalu mudah. Dua lagi faktor beroperasi secara serentak dengan kaum:
kelas (kaya-miskin, kelas menengah) dan spatial (bandar dan luar
bandar),” tambah pengasas dan pengarah Institut Kajian Etnik (KITA).
Walaupun Barisan Nasional (BN) yang diketuai Najib berjaya
mempertahankan kuasa persekutuan dalam pilihan raya paling sengit
negara, gabungan tersebut kehilangan bandar-bandar besar dari George
Town ke Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar besar di Johor.
BN gagal untuk menang di Selangor dan Pulau Pinang – dua negeri
perindustrian di Malaysia – walaupun berjaya merampas kembali Kedah,
negeri pedalaman dan jelapang padi itu.
DAP menghancurkan MCA dalam Pilihan Raya 2013 dengan penasihatnya Lim
Kit Siang mengalahkan Pengerusi BN Johor Datuk Abdul Ghani Othman
dengan 14,762 undi di kerusi Parlimen Gelang Patah, selain merampas
Kulai, Kluang dan Bakri di Johor.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengatakan parti komponen BN
itu tidak akan mengambil apa-apa jawatan kerajaan selepas menang hanya
tujuh kerusi Parlimen, kurang separuh daripada 15 kerusi Parlimen
dimenangi dalam Pilihan Raya 2008.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengatakan awal pagi Isnin
kerajaan baru BN akan memulakan perdamaian kebangsaan, sebagai
usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, selepas apa yang beliau
gambarkan senagai “tsunami Cina” dalam pilihan raya umum ke 13 –
menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding Pilihan
Raya 2008.
Penganalisis politik Dr Lim Teck Ghee walau bagaimanapun, menyatakan
PR menang lebih separuh daripada undi popular, menunjukkan gabungan itu
mendapat sokongan “sebahagian besar daripada Melayu dan pengundi bukan
Cina lain”.
“Keputusan di Selangor, yang mempunyai peratusan besar populasi
bandar, termasuk di negeri pantai barat lain, dengan jelas menunjukkan
ini adalah trend kelas menengah bandar,” kata Lim kepada
The Malaysian Insider.
“Sebahagian besar Melayu termasuk dalam kelas menengah ini – mungkin
sebanyak bukan Melayu,” menurut pemerhatiannya. Pengarah Center for
Policy Initiative (CPI) menambah, undi menentang BN sebahagian besar
disebabkan segmen pengundi ini lebih berpengetahuan dan kurang
terpengaruh dengan media arus perdana dan media cetak mesra BN.
Beliau mengatakan, pengundi kelas menengah secara umumnya lebih
bimbang tentang rasuah, pentadbiran baik dan isu kos kehidupan dan
kurang terpengaruh dengan ketakutan kepada pembangkang dan sentimen kaum
dan agama yang dimainkan BN.
Wong Chin Huat pula mengatakan, pengundi muda yang mahukan perubahan menyokong PR - melangkaui batas kaum.
“Pakatan mengatakan mari cuba sesuatu yang baru – anda boleh beralih
dari kategori kaum. Jadi anda bercakap mengenai persoalan nilai,” kata
Wong kepada
The Malaysian Insider.
“Pengundi muda yang lebih yakin dan mahukan perubahan akan bersama Pakatan,” tambah felo Institut Pulau Pinang itu.
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mengatakan gabungan 13 parti itu
bukan sahaja mendapat kurang kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat
dan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya 2013 berbanding
2008, akan tetapi turut kehilangan undi popular buat pertama kali
semenjak 1969.
“Adakah tidak mungkin bahawa ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme
kaum, tetapi tsunami Malaysia yang berpaksikan aspirasi dan realiti
baru, khasnya di kalangan pengundi muda?” kata bekas ketua pengarang
kumpulan News Strait Times Press semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir
Mohamad dalam tulisan di blognya yang bertajuk, “Keputusan PRU13-Tsunami
Cina atau Tsunami Malaysia?” semalam.
Terdapat hampir 2.5 juta pengundi kali pertama daripada 13.3 juta
pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan
peratusan keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus, paling tinggi dalam
sejarah Malaysia.
BN yang berkempen untuk menjaga keselamatan dan keamanan, kalah tujuh
lagi kerusi Parlimen dan 71 kerusi DUN kepada PR dalam pilihan raya
pada Ahad. BN dan PR menang 133 dan 89 kerusi Parlimen, termasuk 275 dan
230 kerusi DUN dalam Pilihan Raya 2013.
Bagi kerusi Parlimen, BN mendapat 5,237,699 undi berbanding parti
Pakatan Rakyat yang mendapat 5,623,984 undi. Gabungan tiga parti PKR,
PAS dan DAP juga mendapat lebih banyak undi di DUN, mendapat 4,879,699
berbanding 4,513,977 undi diterima oleh gabungan 13 parti itu.
0 Komen pengunjong :