Rakyat tidak lupa matlamat jatuhkan BN


Sehingga ke saat akhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih enggan membebaskan baki  tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.
Mengikut jadual pembebasan, masih ada 15 orang yang belum dibebaskan dan daripada jumlah tersebut, 6 orang daripada mereka hanya  akan dibebaskan pada Januari 2014.
Gerakan Mansuh ISA (GMI) pernah mendedahkan suasana keluarga mangsa ISA di Sabah yang hidup dalam kedhaifan dan  mengharapkan bantuan orang ramai.
Bahkan ada seorang mangsa ISA yang masih belum pernah melihat anaknya yang sudah berusia setahun tiga bulan kerana anaknya itu  lahir semasa dia dalam tahanan ISA.
Namun realiti keperitan rakyat ini masih gagal untuk menarik perhatian rejim BN untuk segera membebaskan kesemua tahanan ISA.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan BN juga terus menunjukkan taring kezaliman dengan menggunakan akta baru yang menggantikan ISA  iaitu SOSMA (Security Offences (Special Measures) Act 2012 – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) untuk  menganiaya rakyat yang tidak bersalah.
Terbaru, akta zalim persis ISA itu digunakan untuk mengugut aktivis Pilihanraya Bersih yang hanya menjalankan kerja-kerja pendidikan  untuk pengundi.
Pantau pilihan raya
PY Wong merupakan seorang aktivis dari gerakan Tindak Malaysia yang giat menjalankan aktiviti latihan PACABA bagi tujuan pemantauan  Pilihanraya.
Beliau dipanggil dan disoal siasat selama tiga jam di bahagian siasatan jenayah atas tuduhan cuba melakukan aktiviti yang bercanggah  dengan demokrasi berparlimen.
Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 124c Kanun Keseksaan yang digubal bagi mentakrifkan kesalahan keselamatan di bawah SOSMA.
Siasatan di bawah seksyen ini merisikokan beliau untuk ditahan menggunakan SOSMA.
Saya percaya tindakan ini merupakan usaha BN yang memperalatkan akta zalim seperti SOSMA untuk mengugut aktivis rakyat. Hal ini  mengingatkan semula kepada tragedi penahanan besar-besaran aktivis pembangkang di bawah ISA semasa operasi lalang 1985. Akta  zalim sentiasa dipertahankan oleh rejim BN sebagai talian hayat untuk memelihara kekuasaan mereka.
Sebelum itu, pada awal tahun ini, SOSMA telah menangkap Hilmi Hasim, Yazid Sufaat dan Halimah Hussein atas tuduhan yang amat tidak  masuk akal iaitu cubaan untuk menghasut kebangkitan rakyat di Syria.  Sehingga ke hari ini, pihak Polis masih lagi mencari bukti untuk  membuktikan tuduhan tersebut.
Menurut Ibu kepada Hilmi Hasim, pihak Polis pernah datang ke rumah beliau untuk meminta beliau memujuk Hilmi agar mengaku bersalah dan bersetuju menjadi saksi polis untuk mendakwa Yazid. Pihak Polis juga masih cuba menghubungi rakan-rakan Hilmi untuk  cuba mencari bukti yang mengaitkan Hilmi dengan pertuduhan tersebut.
Persoalannya, mengapa semua siasatan ini dibuat setelah Hilmi ditangkap? Bukankah siasatan seperti ini sepatutnya dibuat secara  terperinci sebelum Polis membuat sebarang tangkapan?
Kuasa besar polis
Inilah hakikatnya SOSMA, Polis memiliki kuasa besar untuk membuat tangkapan biarpun tanpa alasan dan bukti yang kukuh. Natijahnya,  Yazid, Hilmi dan Halimah sudah mendekam dalam penjara selama dua bulan 16 hari sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah.
Maka tidak syak lagi, segala kezaliman ini akan selesai dengan tekad rakyat untuk mengundi perubahan. Rejim BN perlu diajar dengan  menjatuhkan mereka dalam PRU13 setelah pelbagai kaedah yang rakyat gunakan gagal untuk menyedarkan mereka.
Pakatan Rakyat hadir sebagai sandaran rakyat Malaysia yang terlalu dahagakan perubahan. Cukup sudah 55 tahun tempoh yang rakyat  berikan kepada rejim Bn. Tempoh itu telah gagal digunakan oleh BN untuk memimpin negara ke arah yang lebih baik.
Tidak cukup dengan sifat kuku besi disebalik undang-undang yang zalim, BN juga telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang  berhutang dengan jumlah hutang terkumpul menghampiri RM600 bilion.
Sekiranya dinisbahkan kepada jumlah rakyat Malaysia, setiap rakyat Malaysia akan menanggung hutang sebanyak RM20,000 seorang.
Akibat daripada itu, rakyat telah dikerah untuk membayar pelbagai cukai yang sangat membebankan.
Untuk mencapai kemenangan dalam PRU13, Pakatan Rakyat perlu meminimakan perselisihan di saat akhir.
Menurut kajian UMCEDEL pada tahun 2012, antara isu utama yang boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat ialah  kegagalan kepimpinan Pakatan Rakyat menguruskan perbezaan pendapat.
Berdasarkan kajian tersebut, 46 % daripada 2,282 responden yang ditemui bersetuju bahawa isu percanggahan pendirian antara parti  dalam Pakatan Rakyat boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Lebih merisaukan apabila rakan-rakan berbangsa selain Melayu merupakan responden yang paling banyak menyatakan isu percanggahan  antara parti boleh memudharatkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Sekiranya dititik beratkan hasil kajian ini, saya merasakan pimpinan Pakatan Rakyat tidak seharusnya melakukan kesilapan mudah  dengan mengeluarkan kenyataan yang hanya mengurangkan kredit Pakatan Rakyat di mata pengundi.
Namun saya yakin, rakyat sudah terlalu matang dan bijak memilih untuk masa depan negara yang lebih baik.

*Penulis ialah Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan juga mantan pengerusi Solidariti Mahasiswa  Malaysia (SMM),

0 Komen pengunjong :