KUALA LUMPUR-PAS memberi masa 48 jam kepada Pengerusi BN Pulau
Pinang Teng Chang Yeow untuk menarik balik tuduhannya yang mengaitkan
Pakatan Rakyat dengan kejadian letupan di ceramah BN.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS juga menggesa Teng
meminta maaf kepada Pakatan sekiranya tidak mahu berdepan tindakan
undang-undang.
"Fitnah yang dibuat oleh Teng jelas untuk memberi imej buruk kepada
Pakatan Rakyat dan merupakan strategi publisiti murah untuk meraih undi
kepada BN.
"Jika Teng enggan tarik balik kenyataan dan mohon maaf, saya akan
berbincang dengan teman-teman pimpinan Pakatan Rakyat yang lain untuk
mengambil tindakan undang-undang di mahkamah," kata beliau pada sidang
media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Kelmarin, berlaku letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran BN
Nibong Tebal, yang menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di
kaki.
Mengutuk keras keganasan tersebut, Mahfuz berkata beliau yakin
kejadian tersebut adalah provokasi oleh pihak-pihak yang
bertanggungjawab bertujuan menimbulkan ketakutan dan rasa gelisah di
kalangan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"PAS juga mengecam keras dan mengutuk tindakan ganas menjelang
pilihan raya ini," katanya yang juga calon di Parlimen Pokok Sena.
Sementara itu, Mahfuz turut memberitahu, PAS sedang mengesan
pergerakan luar biasa rombongan dipercayai pengundi-pengundi dari Sabah
dan Sarawak yang akan memasuki semenanjung bermula hari ini hingga 4 Mei
menggunakan pesawat-pesawat yang disewa khas.
"PAS telah menerima laporan yang sedang dalam proses pengesahan
mengenai pergerakan ini dan tujuan rombongan juga masih dalam siasatan
kami.
"Kami juga sedang mengumpulkan maklumat terperinci berkaitan dengan
jumlah sebenar rombongan-rombongan tersebut dan juga jadual perjalanan
mereka," katanya.
Mahfuz juga memberi amaran kepada pihak yang menerima kad pengenalan secara tidak sah agar tidak mengundi dalam PRU13.
"Saya ingin memberi amaran kepada warganegara asing yang diberi kad
pengenalan dengan cara yang berlawanan dengan undang-undang dan
kemudiaanya diidaftarkan sebagai pengundi supaya tidak mengundi dalam
pilihan raya kali ini. Kami mahu supaya masa depan Malaysia ditentukan
sendiri oleh rakyat," tegasnya.
Murid buktikan pada guru lembu makan martabak
23 hours ago
0 Komen pengunjong :