PETALING JAYA: Pemergian dua Wakil PKR ke Manila tidak mempunyai
kaitan dengan konflik semasa di Lahad Datu, Sabah sebaliknya menuntut
penjelasan terhadap dakwaan penipuan yang melibatkan individu yang
dikehendaki polis Filipina, Manuel Karingal Amalilio.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemergian Naib
Presiden PKR, Tian Chua bersama peguam R Sivarasa pada 7 Februari lalu
bertujuan mendapatkan maklumat sebenar berhubung kes berkenaan.
Ini kerana menurut Anwar, kes membabitkan Amalilio agak menghairankan
berikutan tindakan pantas pihak berkuasa Malaysia seperti mana didakwa
Tian Chua sebelum ini bagi menggelakkan deportasi Amalilio ke Filipina.
Amalilio dipenjara selama dua tahun atas tuduhan memiliki pasport
palsu, selepas majistret memutuskan hukuman tersebut di wad Hospital
Queen Elizabeth di Kota Kinabalu 4 Januari lalu.
“Dalam masa singkat terus ditangkap dan diletakan dalam lokap. Disyaki mengelak untuk dikirim (pulang) ke Filipina.
“Dia punyai dua pasport. Satu Malaysia dan satu Filipina. Dia didakwa mempunyai pasport palsu Filipina.
“Jadi Kerajaan Filipina mengatakan sepatutnya dikirim balik untuk siasatan,” jawab Anwar.
Hasil pertemuan dengan pihak berkuasa negara itu mengesahkan pasport
Filipina yang dikeluarkan kepada Amalilio pada 2009 adalah tulen dan
sah.
Amalilio yang mempunyai hubungan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk
Musa Aman didakwa terlibat didalam kes penipuan terhadap lebih 15,000
orang rakyat Filipina, majoritinya umat Islam yang membabitkan wang
bernilai hampir RM900 juta (12 bilion peso).
Anwar sebelum ini mendesak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian
Dalam Negeri (KDN) memberikan kerjasama kepada kerajaan Filipina demi
memastikan isu ini tidak menggangu sebarang hubungan diplomatik di
antara kedua-dua negara.
0 Komen pengunjong :