PETALING JAYA - Kegagalan agensi perisikan negara mengesan awal akan
pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah punca utama banyak nyawa telah
terkorban dalam insiden berkenaan.
Menurut bekas
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan
Jeneral (B), Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, jika anggota perisikan
menumpukan kepada usaha mengesan lebih awal akan kemasukan penceroboh
dari negara luar, maka insiden di Lahad Datu dapat dielakkan.
"Apa yang saya hendak tekankan perisikan tak berfungsi sehinggakan mereka yang masuk ini tidak dapat kita ketahui.
"Keupayaan mereka dari segi perisikan luar negara, badan dan aset
mereka digunakan bagi tujuan operasi politik," dakwa beliau pada sidang
media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Malah dakwanya anggota perisikan negara seolah-olah sudah "hilang
kepakaran dan aset" untuk menjalankan kerja-kerja perisikan bagi menjaga
benteng pertahanan negara.
Beliau meminta seluruh rakyat Malaysia menggesa kerajaan agar memohon
maaf atas kegagalan menangani insiden di Lahad Datu sebelum keadaan
menjadi parah dan membawa banyak kematian anggota keselamatan.
"Apa yang berlaku setelah 23 hari, lebih kurang, barulah kita hendak bertindak," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak kerajaan untuk
memastikan waris kepada wira negara yang telah terkorban diberikan
jaminan pendidikan, perumahan dan pelan insurans kesihatan sebagai
mengenang jasa ketua keluarga mereka yang telah terkorban.
"Untuk maksud ini saya menggesa rakyat Malaysia untuk bersatu atas
prinsip dan pendirian yang jelas demi kemakmuran dan keselamatan rakyat
Malaysia," ujar beliau.
Menurut Azmin, pihaknya turut dapat mengesan isu keselamatan di Lahad
Datu dan Semporna ini cuba dialihkan kerana kegagalan kerajaan
menanganinya.
Sementara, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sekali lagi mengulangi
gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan
sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan isu keselamatan negara dan
seterusnya mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang.
Dalam perkembangan terbaru, polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu.
Pihak polis sudah pun berbincang dengan Peguam Negara bagi menentukan
tindakan berdasarkan undang-undang yang akan dikenakan kepada mereka
yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan.
Malah polis juga difahamkan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang
memperlekeh dan mempersoal tindakan anggota keselamatan yang terkorban
dan cedera dalam Op Daulat.
Bahkan mereka yang menyebar ulasan negatif mengenai tindakan pasukan keselamatan juga akan berhadapan tindakan undang-undang.
0 Komen pengunjong :