Rasuah balak T'ganu: Pakatan dedah cek, resit bayaran

Rasuah balak T'ganu: Pakatan dedah cek, resit bayaranPETALING JAYA- Pakatan Rakyat hari ini menampilkan bukti berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan balak di Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan bukti berupa cek dan resit bayaran daripada syarikat yang terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.
Akhir Februari lalu Rafizi dan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendedahkan skandal melibatkan satu modus operandi menggunakan sebuah syarikat yang diberi kelulusan membalak oleh kerajaan negeri.
"Sebelum ini saya dan Dr Syed Azman mendedahkan modus operandi bagaimana syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam tender mengeluarkan hasil balak dipaksa untuk membeli syarikat RM2 pada harga RM2.5 juta untuk dipertimbangkan.
"Hari ini saya tunjukkan cek dan resit bayaran yang dibuat kepada penama yang merupakan syarikat yang terlibat dalam urusniaga pembelian saham," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, dekat sini hari ini.
Menurut Rafizi juga, penyelewengan pengurusan hasil balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau turut menunjukkan dokumen rasmi SPRM yang mengesahkan kes tersebut telah disiasat oleh badan itu.
"Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu," katanya.
Tambah beliau juga, Ahmad sendiri sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
"Saya tidak mendapat apa-apa maklum balas pun daripada Datuk Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan beliau sendiri," katanya lagi.
Difahamkan projek membalak tersebut diluluskan Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan Negeri pada 17 Julai 2012 yang dipercayai dipengerusikan Ahmad, melibatkan kawasan seluas 405 hektar di Hutan Simpan Hulu Setiu.
Namun pada 28 Disember 2011 iaitu enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan, satu perjanjian dimeterai supaya syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat proksi yang hanya mempunyai saham berbayar RM2.
Wang jualan itu disyaki disalurkan kembali kepada individu tertentu yang berpengaruh menentukan hak membalak kepada syarikat terbabit.

0 Komen pengunjong :