SHAH ALAM 14 MAC : Polis serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa
mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana
melemparkan fitnah yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berusaha
menggagalkan PRU-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda.
Ketua Penerangan PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan Timbalan
Perdana Menteri itu terlalu berat serta berunsur hasutan bagi
menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.
Sebelum ini, Muhyiddin di Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Baru
Perodua di Hulu Selangor berkata, pakatan pembangkang akan menimbulkan
huru-hara pada hari mengundi dan akan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tidak bersih.
Katanya, pembangkang bertindak demikian kerana mereka semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai maklumat mengenai perkara
berkenaan dengan mendakwa pembangkang merancang sesuatu untuk membuatkan
suasana porak-peranda.
“Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh
mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai daripada kalangan
masyarakat.
“Apakah
TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi
yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat, khususnya pemimpin
Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau,” kata Riduan dalam kenyataan
media.
Kata Riduan, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah
keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM
sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan serta sindrom ketakutan
kepada rakyat.
“Beliau juga menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin
dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.
“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen
yang boleh dipercayai seperti dakwaannya, pemuda PAS mencabar TPM untuk
mendedahkan butiran dokumen tersebut,” katanya.
Ujarnya, sekiranya Muhyiddin gagal mengemukakan bukti tersebut,
Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan
saman fitnah terhadap beliau.
Sementara itu, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kenyataan tersebut adalah ‘songsang’
dan menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin.
“Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihanraya,
malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan
pilihanraya.
“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.
“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal, bakal ke
penjara jika Umno tewas di Putrajaya, yang mana ia seharusnya
menimbulkan panik,” katanya.
Baru-baru ini di Bukit Katil, Melaka, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang
membawa penceramah Pakatan Rakyat dibaling dengan batu sehingga pecah
cermin. Ia merupakan insiden kedua di Melaka bas itu diserang and
ke-enam semenjak jelajah itu dimulakan pada September tahun lepas.
0 Komen pengunjong :