KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pembangkang mencabar dakwaan daripada media
antarabangsa yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri
Anwar Ibrahim dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, dan menegaskan
laporan berkenaan telah di putar belit untuk mengalihkan fokus daripada
kegagalan kerajaan menangani insiden berkenaan.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang dihubungi
The Malaysian Insider semalam berkata laporan media antarabangsa seperti Reuters dan portal Filipina
The Philipine Inquirer
yang melaporkan sumber risikan Filipina mendakwa seorang pemimpin yang
rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan penceroboh
bersenjata terbabit di Sabah bukanlah perkara mengejutkan.
“Saya tidak terkejut kalau ada pihak luar digunakan untuk memburukkan Anwar,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Ini semua tuduhan yang tidak berasas dan cuba mengalihkan pandangan
dari isu sebenar ... kita minta jangan alihkan pandangan rakyat,
bagaimana keselamatan lautan dan wilayah kita boleh dicerobohi,”
tegasnya, dan menuntut jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri dan
Ketua Polis Negara (KPN).
Jelas ahli Parlimen Gombak itu lagi, setiap tuduhan yang dibuat juga perlu dikemukakan dengan bukti.
“Siapa yang buat tuduhan kepada Anwar perlu kemuka bukti ... bukti
kukuh perlu ada sebelum buat tuduhan,” tegasnya, dan menambah, “ini
memang kerja Umno, padamkan fakta dan mengalih perhatian rakyat.”
Portal Philipine Inquirer sebelum ini melaporkan seorang pemimpin
utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Anwar telah
mengadakan pertemuan dengan penceroboh bersenjata terbabit di Sabah.
Portal berkenaan turut melaporkan dipetik sumber risikan kerajaan
Filipina, pertemuan berkenaan yang berlangsung pada November tahun lalu
menyebabkan Sultan Sulu Jamalul Kiram III mengarahkan pengikutnya
menceroboh Kampung Tanduo, lokasi penceroboh yang mendakwa mereka adalah
Tentera Kesultanan Sulu berkubu.
Reuters juga pada 14 Februari lalu memetik kenyataan seorang pegawai
tentera Filipina mendakwa pencerobohan tersebut berlaku atas jemputan
pembangkang negara ini
Pertempuran kemudiannya tercetus Jumaat lalu selepas tiga minggu
penceroboh berkenaan berkubu di sana dengan pasukan keselamatan Malaysia
apabila mereka dikatakan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.
Insiden tembak menembak yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu turut
menyaksikan dua anggota pasukan polis terbunuh, manakala tiga lagi
cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka diserang menggunakan
mortar.
Azmin turut berkata, tuduhan yang dikeluarkan terhadap Anwar itu juga
bertujuan untuk melemahkan sokongan terhadap PR yang mana jelasnya
mempunyai sokongan yang semakin kuat daripada rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah telah bangkit dan memberi dokongan kuat kepada PR, maka tuduhan seperti ini cuba melemahkan sokongan mereka.
“Usaha ini dibuat Umno dalam pelbagai cara, dulu kita tahu Umno
gunakan pihak luar dari AS (Amerika Syarikat) untuk memburukkan Anwar,”
katanya lagi
Sementara itu, pegawai khas kepada Anwar, Najwan Halimi yang
dihubungi The Malaysian Insider memaklumkan, ketua pembangkang itu telah
mengarahkan peguamnya, Latheefa Koya untuk meneliti laporan media
berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Datuk Seri Anwar telah memaklumkan kepada peguamnya untuk mengkaji
kenyataan itu ... sekiranya ada tindakan susulan, kita akan maklumkan,”
katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Malaysia
tidak akan berlembut dengan penceroboh bersenjata dari Filipina itu lagi
kerana mereka telah melakukan kesalahan jenayah yang besar dengan
menceroboh negara ini dan membunuh dua anggota polis daripada pasukan
komando polis.
Beliau juga menegaskan Malaysia tidak akan berunding untuk kali kedua dengan penceroboh berkenaan.
“Kerajaan ambil pendirian, masa untuk mempertimbangkan permintaan kumpulan tersebut telah berakhir.
“Kita bertegas dalam hal ini kerana apa yang mereka lakukan jenayah
yang amat serius ... mereka ceroboh dan bunuh anggota polis, serta
mencederakan anggota keselamatan kita ... mereka hanya ada dua pilihan,
serah diri atau terima tindakan daripada pihak keselamatan,” tegasnya.
Inspektor Zulkifli Mamat, 29 dan Koperal Sabaruddin Daud, 46, terbunuh dalam pertempuran di Lahad Datu akibat serangan mortar.
Manakala 10 anggota penceroboh berkenaan turut dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Dianggarkan 180 pemberontak Filipina, termasuk 30 lelaki bersenjata
menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah
diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.
0 Komen pengunjong :