KUALA LUMPUR 27 FEB: Penurunan sokongan terhadap Datuk Seri Najib
Razak berpunca daripada skandal rasuah yang terpalit ke atas Perdana
Menteri itu, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee
Khai Loon.
Beliau berkata, kemerosotan itu menunjukkan transformasi yang
dicanang Umno BN gagal mempengaruhi rakyat, dan hanya menguntungkan
kroni.
“Najib
gagal menjawab beberapa isu besar seperti pendedahan Deepak (Jaikishan)
dan sekarang kehadiran penyiasat persendirian P Balasubramaniam akan
membuatkan Najib semakin tertekan menghadapi tuduhan itu.
“Umno BN sekarang menuju jalan buntu kerana gagal mendapat sokongan
padu bukan sahaja daripada bangsa Cina dan India, malah orang Melayu pun
turut menunjukkan sentimen tidak puas hati dengan Umno BN,” katanya
kepada
Keadilan Daily.
Kajian terbaru Merdeka Center semalam mendapati sokongan pengundi
kepada Perdana Menteri menurun daripada 65 peratus pada Mei 2012 kepada
61 peratus pada Januari tahun ini.
Turut dicatat penurunan sokongan responden Melayu kepada kerajaan Umno BN.
Kajian tersebut juga mendapati, kemarahan masyarakat Cina terhadap
kerajaan Barisan Nasional masih tinggi iaitu pada kadar 68 peratus.
Masyarakat Melayu juga mencatat peningkatan kemarahan ke atas
kerajaan apabila naik daripada 24 peratus pada Mei 2012 kepada 32
peratus pada Januari 2013. Manakala masyarakat India juga naik daripada
41 kepada 43 peratus dalam tempoh sama.
“Sekarang situasi Umno BN dilihat tidak ubah seperti zaman Pak Lah
(Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada 2008 sebelum beliau membubarkan
Parlimen, malah mungkin lebih buruk lagi.
“Apatah lagi sokongan orang Melayu pun merosot kepada 73 peratus
berbanding 77 peratus sebelum ini. Mungkin itu sebabnya kenapa Najib
belum berani membubarkan Parlimen sekarang,” kata Khai Loon.
Seramai 1021 pengundi berdaftar yang membabitkan 59 peratus orang
Melayu, 32 peratus orang Cina dan 9 peratus orang India terlibat dalam
tinjauan kajian ini apabila mereka ditemuramah melalui panggilan
telefon.
0 Komen pengunjong :