Terperanjat
juga saya mendengar ‘rumors’ yang berkisar hebat di kalangan UMNO yang
Najib sudah sampai masa untuk diketepikan untuk menyelamatkan UMNO dari
dihumbankan oleh rakyat dalam pilihanraya ini. Malahan isu ini telah pun
ditulis oleh beberapa pihak dalam 'cyber space' yang usaha untuk
memaksa Najib meninggalkan jawatan atau membuangnya mengikut saluran
parti sedang berjalan rancak.
Ada penafian dibuat di kalangan UMNO tetapi penafian di kalangan UMNO
itu selalunya adalah cara untuk mengiyakan apa yang dikhabarkan itu
adalah perkara benar. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menafikan ada
pertelingkahan di antara mereka dahulu, tetapi akhirnya terjawab yang
berita yang dikatakan sebagai khabar angin itu adalah perkara yang
benar, malahan lebih benar dari apa yang diberitakan itu. Sekarang
kedua-duanya telah berputus arang dan tidak boleh memandang di antara
satu dengan lain.
Saya sendiri acap kali berkata yang musuh Najib yang sebenarnya
bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau sebenarnya adalah dari
kalangan UMNO sendiri. UMNO tidak terbuka dan apa yang berlaku pun
selalunya akan terjadi di dalam gelap buat seketika. Berlainan dari
parti-parti dalam Pakatan. Mereka (parti-parti Pakatan) terbuka dan
menunjukkan perbezaan mereka secara terbuka dan ini merupakan satu
perkara yang sihat.
Ada yang tidak sama pendirian tentang isu dalam Pakatan, tetapi
perbezaan itulah yang membuatkan mereka berusaha untuk bermuafakat dan
ini tidak dapat dilakukan oleh BN. Masakan ada permuafakatan jika tidak
ada perbezaannya? Sebaliknya kebaikan ini diambil sebagai perpecahan
oleh BN dan media massa memainkan isu ini sebesar yang mungkin bagi
memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Perbezaan yang sedikit di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat
itulah yang menyebabkan mereka bersatu dan mereka mempunyai hubungan
‘inter-party’ yang baik dan bersama-sama menjaganya. Di sebaliknya kita
melihat hubungan ‘inter-party’ dalam BN itu lebih baik dan mereka tidak
menampakkan perbezaan mereka dalam semua isu yang berbangkit di kalangan
mereka.
Tetapi yang paling merbahaya di dalam BN khususnya UMNO,
‘politicking’ secara senyap-senyap di antara mereka dalam parti
pemerintah itu. Permainan politik di antara mereka di dalam UMNO itu
sudah menjadi budaya yang tidak dapat dihapuskan lagi dan jika ada
usaha-usaha dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib itu, ia tidaklah menjadi
isu yang memeranjatkan. Dalam keadaan sekarang, usaha untuk menjatuhkan
Najib dengan menggunakan banyak isu peribadi Najib itu, adalah isu-isu
yang ‘expedient’ untuk mereka memaksa Najib keluar dari pimpinan parti
dan negara.
Ada di kalangan mereka di dalam UMNO sedang berusaha untuk memujuk
seorang bekas Menteri Besar untuk mengeluarkan bukti penglibatan Najib
dalam satu skandal di sebuah pusat peranginan banyak tahun dahulu.
Permainan ini sudah menjadi lumrah dalam UMNO. Itu sebabnya jika
pemimpin yang bercita-cita tinggi seperti hendak menjadi pemimpin utama
negara penglibatan dengan artis wanita misalnya akan menjadi isu yang
paling ‘mangkuih’ bagi musuh-musuh dalaman parti.
Tetapi apa yang tidak di sedari dan di fahami oleh UMNO ialah, mereka
ini ditolak secara total oleh sebahagian besar rakyat dan mereka yang
melakukan ‘politicking’ dalaman untuk menjatuhkan Najib itu pun tidak
kurang masalah peribadi mereka. Pendeknya jika berjaya usaha sebahagian
mereka dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib, mereka atau individu yang
menanti untuk mengambil alih Najib itu pun merupakan seorang yang jauh
lebih lemah dari Najib dan Abdullah Badawi dahulu.
Saya selalu berkata yang siapa sahaja di kalangan yang sedang berada
di pesada politik dan kerajaan negara sekarang ini datangnya dari acuan
yang sama yang terbentuk sejak Dr Mahathir memerintah kita dahulu. Ia
meletakkan kita dalam keadaan ‘yang dibuang itu tidak berguna dan yang
mengambilalih pun lebih tidak berguna lagi’. Muhyiddin yang dikatakan
akan mengambil alih itu pun akan menjadi tidak berguna oleh Dr Mahathir
sebaik sahaja beliau (Muhyiddin) mengambil alih Najib nanti dan isu
terhadap Muhyiddin juga merupakan isu yang ‘real’ yang hanya akan
dikeluarkan setelah beliau menjadi Perdana Menteri nanti (jika dapat).
Jika umur Dr Mahathir masih panjang lagi isu peribadi terhadap
Perdana Menteri itu akan hanya berhenti setelah Muhkriz menjadi
setidak-tidaknya Timbalan Perdana Menteri. Maksud saya dalam urutan
posting ini ialah UMNO ini berkecai kerana permainan Dr Mahathir yang
mendapat sokongan dari mereka yang berkepentingan jika Najib jatuh dari
pesada kepimpinan.
UMNO sesungguhnya tiada berkepimpinan lagi…tiada seorang pun di
kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti dan dalam jemaah menteri
sekarang ini. UMNO telah mencampakkan semua pemimpin yang berkemampuan
untuk menjaga keselamatan Dr Mahathir yang tidak mahu sesiapa yang lebih
cerah berada di sisi beliau dalam kepimpinan parti dan negara semasa
itu. Inilah dia hasilnya yang ahli-ahli UMNO yang menerima warisan Dr
Mahathir itu.
Dalam keadaan yang sebegitu teruk pun UMNO masih bercita-cita untuk
terus memerintah negara. Sudah 55 tahun berada di persada kuasa, maka
UMNO belajarlah untuk menjadi pembangkang yang baik pula jika masih ada
yang baik di dalam UMNO itu.
Cukuplah UMNO berada di tampuk kuasa. Biarlah rakyat mendapatkan
‘ambience’ siasah yang baru dan diharap Pakatan Rakyat akan dapat
melakukannya. Rakyat tidak mahu diperkotak-katikkan lagi. Mereka
(Rakyat) mahukan keadaan yang baru dan hidup tanpa tertekan dengan
tekanan dan desakan UMNO selama ini.
Keadaan negara begitu kritikal dan perubahan sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk melakukannya.
- http://aspanaliasnet.blogspot.com/
0 Komen pengunjong :