KUALA LUMPUR: Jangan
berasa terlalu kecewa jika kali ini Umno mengambil giliran untuk
membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan
menajamkan perjuangan mereka.
Demikian tulisan Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com
“Semasa duduk sebagai pembangkang itu Umno akan lebih mudah untuk
menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan
parti itu,” tulisnya.
Menurutnya, semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin
dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu
adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.
Di bawah adalah tulisan penuh beliau.
Usaha mengenepikan Najib dan menggantikan pimpinan UMNO dengan
Muhyiddin nampakya semakin diketahui umum. Kepulangan Najib dari luar
negara dengan sambutan yang agak besar itu adalah usaha pihak penyokong
Najib bagi menunjukkan yang beliau (Najib) mempunyai sokongan kuat.
Kehadiran ramai itu juga adalah untuk menunjukkan kepada pihak yang
mahu mengalih dan menganjak kepimpinan dalam UMNO itu supaya jangan
cuba-cuba untuk melakukan apa-apa terhadap beliau.
Dalam ramai-ramai ahli UMNO yang menunggu itu ada juga beberapa orang
yang datang dari kalangan yang melakukan usaha mengenepikan Najib
kerana tidak mahu tindakan mereka dihidu oleh pihak yang mempertahankan
Najib. Yang jelasnya kumpulan yang datang beramai-ramai menunggu
kepulangan Najib itu termasuklah mereka yang telah membaling batu
terhadap Najib dan menyorokkan tangan mereka dengan hadir bersama dalam
perhimpunan itu.
Itulah yang berlaku di dalam UMNO menjelangnya pilihanraya ini dan
persediaan sudah nampak berlaku untuk melakukan apa yang telah dilakukan
terhadap Abdullah Badawi dahulu. Jika BN memenangi pilihanraya kali ini
dengan majoriti yang lebih kecil dari apa yang di perolehi oleh
Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu maka Najib akan diminta
mengundurkan diri dan memberikan pimpinan itu kepada TS Muhyiddin
Yassin. Itulah caranya di dalam UMNO selagi ada seorang yang masih
dibiarkan aktif dan menyibuk dalam politik UMNO itu sekarang.
Tetapi kali ini strategi itu akan memudharatkan UMNO itu sendiri.
Pilihanraya kali ini akan mengakibatkan bukan sahaja kumpulan Najib
terpaksa berundur tetapi yang berkehendakkan Najib berundur itu pun akan
diundurkan oleh rakyat. Jika usaha setengah pihak dalam UMNO hendak
mengenepikan Najib itu hanyalah untuk mengambilalih peranan sebagai
Ketua Pembangkang sahaja kerana keseluruhan UMNO itu nampaknya akan
menjadi pihak pembangkang tidak berapa lama lagi.
Sebenarnya jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat ia merupakan
satu hikmah bagi UMNO kerana semasa menjadi pembangkang itulah UMNO
berkesempatan untuk melakukan introspeksi diri dan melihat ke dalam
kenapa mereka diketepikan oleh rakyat negara ini. Semasa itu nanti UMNO
bolehlah mengambilalih kepimpinan Najib itu dan membetulkan UMNO seperti
yang sepatutnya.
Itu sebabnya ulamak yang muktabar sentiasa mengingati kita supaya
jangan menerkam yang cantik itu kerana di sebalik kecantikan itu mungkin
ada kecelakaannya. Di sebaliknya jika datang musibah dan yang buruk
jangan terus ditolak kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya.
Dalam kes UMNO ini mereka (UMNO) mesti jangan gusar menerima
kekalahan kerana di sebalik keburukan itu sudah pasti ada hikmah di
sebaliknya.Hikmah bukannya dalam bentuk kuasa yang ada di tangan, tetapi
hikmah yang sebenarnya ialah berkesempatan bagi memperbaiki diri untuk
menjadi parti yang lebih baik dan mempunyai perjuangan yang betul.
Ramai manusia yang takut kepada mati, tetapi apabila mereka mati
dalam keimanan mereka akan tahu bahawa hidup di alam yang selepas mati
itu adalah kehidupan yang enak dan dan menyejukkan. Itu kata-kata ramai
alim ulamak yang mempunyai makam yang tinggi, bukannya kata-kata dari
saya.
Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini UMNO mengambil giliran
untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan
menajamkan perjuangan mereka. Semasa duduk sebagai pembangkang itu UMNO
akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak
baik untuk perjuangan parti itu. Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah
menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan
pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.
Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhkriz untuk menjadi
Timbalan Presiden UMNO untuk membantu Muhyiddin mengambil kembali
mandat rakyat dalam pilihanraya yang berikutnya. Itu pun jika rakyat
mahu UMNO kembali menjadi parti kerajaan.
Tetapi mungkin semasa itu nanti UMNO akan dapat merasakan nikmatnya sebagai parti pembangkang.
0 Komen pengunjong :