MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan berlangsung
bila-bila masa, tentunya antara agensi hadapan yang diletakkan harapan
oleh rakyat ialah pasukan keselamatan. Dalam menuntut suatu PRU yang
bersih, adil dan bebas, peranan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
amatlah penting dalam memastikan keselamatan rakyat sebagai pengundi
terjamin.
Dalam suasana rakyat ghairah menantikan parlimen dibubarkan,
peristiwa tarian bogel semasa Majlis Malam Mesra Sekalung Budi Segunung
Intan yang diraikan oleh IPD Shah Alam baru-baru ini amat mengejutkan.
Kita amat meraikan jawapan pihak yang berkuasa betapa acara tarian
tersebut bukan perancangan mereka.
Acara yang tidak bermoral tersebut mahu tidak mahu amat memberi kesan
negatif kepada integriti PDRM. Apatah lagi kejadian acara tersebut
berlaku setelah satu demi satu kepincangan pengurusan dan operasi PDRM
didedahkan kepada umum.
Terbaru pendedahan yang dibuat oleh mantan Ketua Polis Negara Tan Sri
Musa Hassan sebelum isu tarian tidak bermoral ini terus meletakkan
pasukan PDRM pada tahap yang perlu dipulihkan secara besar-besaran.
Rakyat kini kian faham apakah itu pilihan raya yang bebas dan adil.
Bagaimanakah pilihan raya yang bebas dan adil boleh dihasilkan dengan
integriti pasukan PDRM yang kian terserlah kepincangannya hari demi
hari?
Polis memainkan peranan bukan sedikit dalam menjamin kelangsungan
pilihan raya yang bebas dan adil. Tentunya faktor keselamatan kepada
semua pihak dalam suasana pilihan raya itu sendiri adalah perkara pokok
untuk kita melihat suatu pilihan raya yang berwibawa dan dipercayai
keputusannya.
Lihat saja dalam masa-masa kebelakangan ini bagaimana pelbagai
kejadian samseng yang menimpa sebelah pihak iaini pimpinan dan penggerak
parti Pakatan Rakyat amat menjadi tanda tanya di manakah keberadaan
pasukan PDRM? Boleh saja timbul persoalan, apakah pasukan yang alpa
dengan tarian bogel ini yang akan dipertanggungjawabkan dengan tugas
yang kian mencabar di kala ini?
Mahu tidak mahu usaha segera dan bersifat drastik mesti dilakukan ke arah penambahbaikan operasi dan pengurusan pasukan PDRM.
Selain itu, rakyat jelata yang mengimpikan suatu pilihan raya yang
bebas dan adil kini perlu bersiap siaga untuk menjadi pemantau-pemantau
bebas kepada PRU13 yang akan kita hadapi. Rakyat tidak boleh lagi
berpeluk tubuh dan hanya membiarkan pasukan-pasukan hadapan untuk
mewujudkan pilihan raya yang benar-benar bersih.
Sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, sebarang rasuah,
penipuan dan kelakuan-kelakuan yang terjatuh sebagai kesalahan pilihan
raya mesti dikekang secukupnya.
Pilihan raya adalah induk kepada lahirnya kerajaan yang sah dan
berdaulat seumpama ibu bapa adalah induk kepada lahirnya zuriat-zuriat.
Baik pilihan raya, baiklah kerajaan yang terhasil sebagaimana ibu bapa
yang baik akan melahirkan generasi yang baik dan hebat.
Bagi maksud tersebut, selaku penggerak aktivis-aktivis pemantau PRU13
Kelantan, saya menyeru seluruh rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia
umumnya supaya pulang dari Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari,
sama-samalah menghadiri program pemantau pilihan raya yang akan diadakan
di Kota Bharu pada 19 Januari kelak. Satu sidang media akan diadakan
bagi menghebahkan program tersebut.
Pusat Rakyat Cakna Prihatin iltizam untuk membentuk jenerasi rakyat
yang mampu berusaha menjadikan PRU13 suatu pilihan raya yang bebas dan
adil. Emelkan sebarang aduan kepada kami –
pusatrakyatcp@gmail.com – 27 Safar 1434H.
Penulis ialah Koordinator Pusat Rakyat Cakna Prihatin.
0 Komen pengunjong :