Nasha dipecat dari Majlis Syura kerana merugikan parti

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Majlis Syura menjelaskan tindakan badan tertinggi PAS memecat bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa sebagai proses saringan untuk membersihkan parti.
Menurut Timbalan Ketua Majlis Syura PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, tindak tanduk Nasharuddin selama ini merugikan parti, menyebabkan beliau dipecat dalam majlis tersebut.
“Majlis Syura memecat beliau kerana tindak-tanduknya merugikan parti, jadi kita anggap ini adalah proses saringan untuk membaiki dalaman parti.
“Lagipun, beliau tidak hadir dalam tiga mesyuarat Majlis Syura, dan memang ada dalam perlembagaan parti mengatakan beliau boleh dipecat. Ini satu tindakan disiplin,” kata Mahfodz yang dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Mahfodz lagi, sokongan akar umbi tidak akan berpecah, memandangkan mereka lebih mengutamakan perjuangan parti dari perjuangan individu.
“Sejarah keluar parti ini dah banyak kali berlaku. (Datuk) Asri Muda, yang merupakan bekas Presiden parti sendiri keluar parti, begitu juga ramai lagi pemimpin PAS juga keluar parti, tetapi akar umbi masih bersama PAS kerana perjuangan parti lebih penting dari individu.
“Yang angkat dia pun orang luar, jadi saya tak nampak perpecahan dalaman parti,” kata Mahfodz lagi.
Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata banyak lagi isu yang boleh diulas, kerana pemecatan Nasharuddin bukan satu isu penting bagi parti.
“Banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan, Nasha ni dah tak ada benda, we move on.
“Lagipun dia dah boleh masuk mainstream media, biarlah dia, kalau dia nak masuk Umno pun tak kisah. He is gone case,” kata ahli parlimen Kuala Selangor itu.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung parti tersebut, Datuk Mustafa Ali enggan memberi komen, dengan berkata pihak eksekutif menerima keputusan yang dibuat Majlis Syura.
Semalam Nasharuddin digugurkan oleh Majlis Syura PAS, selepas disahkan oleh Setiausaha majlis tersebut, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.
Nik Zawawi berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.
“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharuddin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya,” kata Nik Zawawi yang dipetik dari laporan Sinar Harian Online semalam.
Pada September tahun lalu, Majlis Syura menjadi perhatian apabila kedengaran desas-desus membincangkan perkara mengenai bekas timbalan presiden PAS itu, bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharuddin.
Isu itu berlaku apabila Nasharuddin menggesa PAS mengkaji semula keanggotaan dan kerjasama parti Islam tersebut dengan Pakatan Rakyat, berikutan percanggahan pendapat beliau dengan pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mengenai isu hudud.
Nasharuddin baru-baru ini mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan bersejarah ke Gaza, Palestin dan disambut oleh Perdana Menteri Ismail Haniyeh dari Hamas.
Lawatan tersebut walau bagaimanapun dikecam oleh Presiden Mahmoud Abbas yang mewakili pergerakan Fatah.

0 Komen pengunjong :