Najib perlu ikhlas mahu Malaysia jadi “negara demokrasi terbaik”


KUALA LUMPUR, 12 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan keikhlasannya mahu Malaysia memulakan langkah menjadi “negara demokrasi terbaik” dengan mengurus secara aman dan bersejarah Himpunan Kebangkita Rakyat (HKR) KL112, di Stadium Merdeka, hari ini.
Beliau berkata, Najib Razak sepatutnya memastikan tidak berlaku campurtangan politik sama ada oleh Menteri Dalam Negeri, Ketua Penerangan UMNO atau penggerak politik lain daripada mengekang Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertindak memastikan Himpunan Kebangkitan Rakyat berjalan secara aman dan berjaya.
“Saya percaya jika perkara itu dilakukan Najib, hak asasi manusia, demokrasi serta “detik bersejarah” tercipta dan polis akan kembali meyakinkan orang awam dan cekap apabila bebas dan profesionalisme menegakkan undang-undang, bukan menjadi agen ahli politik pemerintah sekarang mempertahankan rejimnya,” ujarnya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, tindakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Salleh melakukan ‘pusingan U’ apabila mengeluarkan kenyataan akhbar supaya Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil bukannya di Stadium Merdeka membuktikan ada campur tangan politik dalam perkara itu.
.
“Ini jelas kesan campur tangan politik ke atas urusan polis apabila kenyataan itu selaras dengan permintaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, yang juga Ketua Penerangan UMNO supaya perhimpunan itu sepatutnya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan bukannya Stadium Merdeka.
“Sedangkan pada mesyuarat Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemimpin Pakatan Rakyat beliau mahu perhimpunan hari ini menjadi “peristiwa bersejarah di mana mereka belajar daripada peristiwa lepas” dan memberi jaminan polis akan hanya memain peranan menguruskan ketika perhimpunan,” katanya.
Beliau gembira selepas membaca laporan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Ramli Mohamed Yoosuf yang mengisytiharkan pada taklimat media di Bukit Aman bahawa meskipun berlaku kecelakaan pada dalam perhimpunan dan protes sebelum ini, pihak polis mensasarkan “kecelakaan sifar” pada perhimpunan di Stadium Merdeka, hari ini.
Katanya, Ramli juga menekankan keselamatan adalah keutamaan polis dan memandang serius terhadap keselamatan orang ramai sebagaimana yang dibincangkan ketika mesyuarat di antara Ketua Polis Negara dan pihak penganjur beberapa hari lalu.
Menurut Kit Siang, jika Najib Razak tidak mahu populariti terus menjunam ke dasar paling bawah, perhimpunan aman dan demokratik “Himpunan Kebangkitan Rakyat” di Stadium Merdeka tidak menjadi ‘titik hitam’ sebagaimana perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 sebelum ini.
“Dalam situasi sebegitu, tiada siapa percaya Najib dapat pulih daripada hentaman politik sedemikian bagi menyelamatkannya dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang perlu diadakan pada Mac ini,” katanya.
Tinjauan pandangan awam terhadap populariti Perdana Menteri yang dijalankan Merdeka Center sepanjang dua minggu terakhir tahun lalu dan didedahkan kepada umum semalam menunjukkan populariti Najib jatuh dua mata kepada 63 peratus berbanding tahun lalu.
Ini adalah populariti terendah Najib sepanjang tahun lalu berubah daripada 69 peratus pada Februari dan April kepada 65 peratus pada Mei, 64 peratus (Jun) dan 65 peratus (Oktober)..
Beliau berkata, kedudukan populariti Najib tahun lalu jatuh ke tahap paling rendah 65 peratus pada Mei dan 64 peratus pada Jun selepas bencana dalam perhubungan awam membabitkan keganasan polis dan kerajaan dalam menguruskan perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April lalu, ketika garam, botol air malahan telefon bimbit dianggap sebagai “senjata pemusnah” untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Begitu juga, pada 2011, kedudukan populariti Najib menjunam kepada paras terendah iaitu 59 peratus, selepas polis menggunakan kekerasan, keganasan dan kezaliman berlebihan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

– Roketkini.com

0 Komen pengunjong :