KUALA LUMPUR — Perbicaraan penglibatan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih) tahun lalu akan diteruskan apabila Mahkamah Tinggi hari ini
menolak permohonan ketua pembangkang itu untuk mengetepikan pertuduhan
terhadapnya.
Hakim Kamardin Hashim ketika membaca keputusan berkenaan permohonan
Anwar hari ini berkata tiada pelanggaran antara Seksyen 4(1)(c) dan
Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan Artikel 10(1)(b)
Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan alasan-alasan tersebut, jawapan saya kepada soalan yang
dibangkitkan adalah negatif,” kata Kamardin ketika membacakan keputusan
tersebut.
Anwar bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu dibacakan dan hanya diwakili peguamnya Karpal Singh.
Parlimen, jelas Kamardin menggunakan kuasanya di bawah Artikel 10(2)(b) untuk menghalang protes jalanan.
“Saya dapati larangan yang dikuatkuasakan Parlimen adalah munasabah
demi melindungi kepentingan keselamatan negara dan keselamatan awam.
“Dengan membenarkan protes jalanan ia akan mengganggu hak kebebasan
individu lain di bawah Seksyen 3 akta tersebut iaitu; hak untuk
berseronok; hak untuk bergerak dengan bebas; hak menikmati pemandangan
alam sekitar; dan hak untuk menjalankan urusan perniagaan,” katanya.
Karpal yang mewakili Anwar bagaimanapun berkata kepada pemberita pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
“Kami akan failkan rayuan secepat mungkin, kemungkinan Isnin depan,” katanya kepada pemberita.
Pada 22 Mei tahun lepas, Anwar didakwa di bawah Seksyen 4 (2) (c)
Akta tersebut bersama-sama dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan
bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin kerana
menyertai perhimpunan 28 April 2012 dan melanggar perintah mahkamah.
Anwar bagaimanapun pada 28 Mei telah memfailkan bantahan terhadap
perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang
sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir,
berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan,
antara 28 April dan 1 Mei 2012.
Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan perintah yang dikeluarkan adalah tidak betul dan tidak sah.
Anwar mendakwa pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta
Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan tidak sah kerana
Majistret Zaki Ashraf itu tidak menamakannya di dalam perintah itu.
Beliau mendakwa perintah yang dikeluarkan majistret itu tidak pernah
diwartakan dan dilampirkan di tempat-tempat yang berkebolehan bagi orang
awam mengetahui mengenai perintah itu mengikut Seksyen 90(2) Kanun
Acara Jenayah.
Pemimpin pembangkang itu turut mendakwa prosiding terhadapnya
berhubung kedua-dua pertuduhan itu juga adalah tidak mengikut
Perlembagaan Persekutuan.
0 Komen pengunjong :