KAJANG 25 Jan: Kira-kira 50 individu termasuk ahli keluarga C Sugumar
mengadakan protes di depan IPD Kajang, bagi mendesak anggota polis
terlibat dengan kematiannya dibawa ke muka pengadilan.
Beberapa kain rentang yang ditulis “Polis Pembunuh”, “Najib Tindas
Masyarakat India”, “Jangan Bodohkan Rakyat” turut dipapar sebagai respon
kezaliman anggota polis.
Bagaimanapun,
polis enggan membenarkan peguam dan keluarga mendiang masuk ke IPD
berkenaan bagi membuat laporan berhubung kematiannya.
Sehubungan itu, peguam N Surendran berkata, satu lagi protes akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Selasa depan.
Beliau turut mengutuk kenyataan Ketua Polis Daerah (OCPD) Kajang ACP
Abdul Rashid Abdul Wahab yang mendakwa Sugumar mati akibat serangan
jantung.
“Ramai saksi berada di tempat kejadian nampak Sugumar dibelasah
hingga mati dengan tangan bergari di belakang dan ada polis melumur muka
mangsa dengan serbuk kunyit. Tapi kita kesal OCPD membela polis
terbabit dan menipu rakyat kononnya mangsa mati akibat serangan jantung.
“Kita beri amaran kepada polis dan KDN, jangan cuba tutup kes ini dan
mahu tindakan di ambil bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana
membunuh,” katanya.
“Tuntutan protes hari ini mendesak polis terlibat ditangkap,
digantung (tugas) dan didakwa ke mahkamah,” katanya yang juga peguam
keluarga mangsa.
Turut hadir Peguam Latheefa Koya, Adun Kajang, Lee Kim Sin;
Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Hj. Mohammad; AJK Biro Maklumat
KEADILAN, K. Gunasekaran; Ajk AMK Hulu Langat, Ananthakannan yang juga
sepupu mangsa; Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM)
S.Arutchelvan, peguam, aktivis politik dan pemberita.
Sementara
itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam menuntut polis mendengar
desakan rakyat dan keluarga untuk membenarkan bedah siasat kedua
dijalankan.
“Saya desak Ketua Polis (COP) Selangor segera tubuh badan siasatan
bebas, siasat isu sebenar dan tangkap korporal dan sarjan polis
terlibat.
“Kita desak bedah siasat kedua dibuat di hospital universiti atau
mana-mana hospital lain kerana kita tidak yakin kredibiliti Hospital
Serdang.
“Kita beri masa selama 48 jam, jika bedah siasat kedua tidak dibuat,
mayat Sugumar akan dibawa ke IPD Kajang dan satu lagi protes akan
diadakan!,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan kematian Sugumar, 40 selepas dibelasah 4
enggota polis dan orang ramai dalam keadaan tangan bergari. Malah
anggota polis berkenaan turut memijak tengkuk mangsa dan melumur serbuk
kunyit di mukanya. Kejadian tersebut berlaku berhampiran rumahnya di
Taman Seri Nanding, Hulu Langat.
0 Komen pengunjong :