KUALA
LUMPUR — Keluarga C Sugumaran dan penyokong akan berdemo di
hadapan ibu pejabat polis di Bukit Aman pada 29 Januari ini untuk
menuntut bedah siasat kedua diadakan selepas pihak polis enggan
memberikan kerjasama ke atas tuntutan mereka, kata peguam N Surendran.
Naib presiden PKR itu berkata, beliau sudah menulis surat kepada
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tetapi tidak menerima balasan.
"Pihak keluarga Sugumaran kecewa tentang perkara ini kerana pihak polis masih menghalang post mortem kedua.
"KPN pula masih enggan membalas surat menuntut post mortem kedua dijalankan," kata Surendran apabila dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Menurut Surendran lagi, pihak keluarga juga sukar untuk menguruskan
pengebumiannya sekiranya polis masih menghalang dari mereka melakukan
bedah siasat ini.
"Keluarga Sugumaran amat kecewa dengan situasi sekarang, ini
menunjukkan kerajaan tidak prihatin, apa yang mereka mahukan ialah
keadilan, ini adalah kes bunuh, dan kita mahu pembunuh ini dibawa ke
mahkamah," kata Surendran lagi.
Rabu lalu, saksi mengatakan Sugumaran dipukul beramai-ramai oleh
empat orang anggota polis yang menggari dan memukulnya sampai mati
bersama-sama sekumpulan orang ramai lebih dari 20 orang di Hulu Langat.
Mereka berkata polis menangkap dan menggarinya, kemudian lebih 20 orang dari restoran berhampiran memukul beliau.
"Ada anggota polis memijak leher Sugumaran," kata R. Moohanarajan ketika ditemui di Hospital Serdang.
"20 hingga 30 orang memakai pakaian biasa membelasahnya, beliau
terbaring manakala tangannya digari di belakang," kata Moohanarajan.
Tetapi pada Khamis lalu, polis daerah Kajang menafikan memukul
pengawal keselamatan tersebut hingga mati, dan berdasarkan bedah siasat
pertama Sugumaran menunjukkan lelaki itu mati akibat sakit jantung.
Menurut polis, balai polis Batu 14 Hulu Langat menerima panggilan
pada jam 6:30 petang Rabu dari seorang lelaki Melayu mengatakan
Sugumaran mengamuk dan memusnahkan harta awam.
Beliau menambah tiga anggota polis di dalam kereta dan motorsikal
mengekori Sugumaran, yang berjalan kaki sejauh dua kilometer dari Dusun
Sri Nanding ke Taman Lagenda Suria di Hulu Langat menghayun-hayunkan
besi, memecahkan pasu bunga dan wayar elektrik sehingga beliau jatuh di
tengah jalan.
Tetapi melihat kepada pandangan saksi, peguam keluarga Sugumaran
enggan menerima sudut cerita polis dan menuntut bedah siasat kedua, yang
boleh diklasifikasikan sebagai bunuh dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
0 Komen pengunjong :