BIARPUN
sudah beberapa waktu berlalu, insiden membabitkan seorang mahasiswi
Universiti Utara Malaysia (UUM), saudari Bawani dan panelis Sharifah
Zohra Jabeen masih panas diperkatakan. Malah, ia menjadi satu jenaka
buat rakyat Malaysia.
Dalam gelak-tawa rakyat Malaysia mendengar hujah tidak matang
Sharifah Zohra yang mengatakan ‘haiwan pun ada masalah’, saya ingin
menyatakan rasa amat kesal terhadap kerajaan BN melalui Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) dan pentadbiran UUM yang nampaknya seolah-olah
menjarakkan diri daripada kontroversi yang berlaku.
Jika pemimpin BN mengatakan forum itu tiada kaitan langsung dengan
mereka, siapa yang akan percaya? Dan, jika pihak UUM mendakwa mereka
juga tiada kaitan dengan forum tersebut, maka siapakah pula gerangan
orang yang meluluskan dan memberi kebenaran untuk mengadakan forum
berjudul “Seiringkan mahasiswa dan politik ” di dalam kampus UUM
sendiri? Adalah amat pelik apabila pihak UUM memberi alasan bahawa
mereka tidak terbabit.
Daripada video tersebut, kita dapat lihat betapa hebatnya panelis
“NGO” ini mempertahankan BN sambil menyerang dan mengutuk Bersih
sehingga mendakwa Datuk Ambiga cuba mencetuskan arnaki. Tidak
terkecuali, tempiasnya juga mengena terus kepada Sasterawan Rakyat,
Datuk A.Samad Said.
Ini semua merupakan satu fitnah jahat dan sengaja dilakukan untuk
mencetuskan kebencian mahasiswa terhadap pimpinan Bersih biarpun
mahkamah memutuskan bahawa Bersih bukanlah satu pertubuhan haram.
Saya percaya kalau tiada pihak atasan yang beri kebenaran atau “green
light”, forum itu tidak akan dapat dijalankan. Janganlah pula pihak
berkuasa UUM menafikan bahawa kandungan forum tersebut tidak diketahui
walhal klip video pertikaman lidah “Listen” telah menular di rangkaian
youtube dan facebook.
Tindakan panelis yang merampas mikrofon daripada Bawani secara jelas
menafikan hak mahasiswa untuk bersuara. Perkara yang paling tidak boleh
diterima oleh kita semua adalah apabila Bawani disuruh untuk belajar ke
negara lain jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan Malaysia.
Siapa Sharifah dan atas apa kapasiti Presiden SW1M itu boleh ‘menghalau’
mahasiswa atau seseorang warganegera keluar dari Malaysia?
Sepatutnya Presiden SW1M itu berfikir bahawa sebagai rakyat Malaysia,
Bawani malah siapa pun boleh memberi kritikan terhadap dasar kerajaan.
Tindakan Bawani mengkritik boleh dianggap satu tindakan patriot yang
cintakan negaranya, yang mahu melihat anak bangsa Malaysia merasai
nikmat kemakmuran negara yang tercinta. Pemikiran dangkal Sharifah
sebagai panelis amat memalukan seluruh rakyat Malaysia.
Saya ingin mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar
tidak lupa bahawa di Malaysia, anda berhak menggunakan undi untuk
menolak parti yang tidak mampu menjaga kepentingan rakyat termasuklah
kepentingan dan kebajikan mahasiswa.
Insiden memalukan ini mencerminkan kepada rakyat terutamanya golongan
mahasiswa melihat dengan lebih jelas keengganan dan keangkuhan kerajaan
BN mendengar suara hati mereka. Adakah kita mahu kerajaan ini terus
menerus dengan keangkuhan dan kebiadaban mereka?
Mahasiswa tidak dungu. Mahasiwa hari ini semakin matang untuk membuat
keputusan dan menilai. Mereka mempunyai idea dan pandangannya
tersendiri. Jadi, suara dan pandangan mahasiswa amat penting dan harus
dihormati oleh semua pihak. Mahasiswa, generasi muda adalah penerus
kepimpinan negara.
Saya menggesa supaya pihak UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi
memandang serius terhadap perkara ini. Pihak pentadbiran UUM dan
kerajaan BN harus bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku dan
perlu memberi penjelasan yang wajar kepada seluruh warga Malaysia.
Mereka harus memastikan agar insiden sebegini tidak akan
berulang.
- Roketkini.com
0 Komen pengunjong :