Sebuah kenderaan pacuan empat roda
konvoi Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda” pecah cerminnya manakala dua
peserta konvoi itu cedera dalam satu kejadian di Negeri Sembilan.
Berikutan itu, beberapa pemimpin PAS dan PKR serta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.
Kejadian
itu didakwa berlaku lebih kurang jam 10 pagi di Jalan Dangi-Jelai yang
hanya beberapa meter sahaja dari simpang utama ke Felda Bukit Rokan Utara.
Ia
didakwa berlaku apabila peserta Jelajah Oren itu dihalang oleh lebih
kurang 80 peneroka dan anak peneroka Felda Bukit Rokan Utara yang
dipercayai penyokong Umno dan BN berdasarkan rata-rata mereka memegang bendera BN dan Umno.
Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, mendakwa, sejurus peserta Jelajah Oren tiba di situ, terdapat sekatan jalan yang dibuat peneroka Felda Bukit Rokan Utara di tengah-tengah jalan.
Dalam
kekecohan tersebut, sebuah kereta pacuan empat roda milik salah seorang
peserta Jelajah Oren didakwa dirosakkan apabila cermin depan dan cermin
tingkap sebelah kiri dipecahkan oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali.
“Dua peserta kita turut dicederakan. Naraza Muda luka di kepala manakala Razali Rashad cedera di kening," kata Mazlan.
Beliau mendakwa pihak polis yang berada di lokasi kejadian itu, hanya memerhatikan sahaja dan tidak menghalang serangan tersebut.
Ekoran
kejadian itu, Mazlan membatalkan niat untuk meneruskan konvoi ke
destinasi seterusnya iaitu ke Felda Jelai, Tampin; Felda Palong 4, 5
& 6, Jempol; Felda 9 & 10, Jempol; Felda Lui Selatan, Jelebu dan
Gugusan Felda Serting di Jempol.
Sebaliknya Mazlan, beberapa
pemimpin PAS dan PKR serta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah Jempol di Bandar Baru Serting pada pukul 12.30 tengahari.
Sebelum
itu peserta Jelajah Oren memulakan konvoi bermula di Felda Kepis, Kuala
Pilah. Bagaimanapun sejurus tiba di dalam kawasan Felda itu, mereka
dihalang masuk oleh lebih kurang 120 peneroka Felda di jalan utama
kawasan Felda tersebut. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Setelah
memberi ucapan lebih kurang 100 meter dari halangan tersebut (di tepi
jalan) dan menikmati sarapan pagi, peserta Jelajah Oren menuju ke Felda
Bukit Rokan Barat yang hanya terletak lebih kurang lapan kilometer dari
Felda Kepis.
Bagaimanapun kira-kira 60 penduduk Felda Bukit Rokan Barat mengadakan sekatan di simpang masuk ke penempatan berkenaan.
Mereka melaungkan-laungkan agar peserta Jelajah Oren balik dan jangan masuk ke Felda Bukit Rokan Barat.
Malaysiakini menemubual
Ketua Kampung Felda Bukit Rokan Barat, Mohd Zamrud Johari dan beliau
berkata: “Peneroka dan pihak pengurusan Felda sendiri tidak mahu ‘orang
luar’ masuk ke kawasan Felda kerana ditakuti akan menimbulkan kekecohan.
“Walaupun mereka hanya membawa kenderaan dan ‘berjalan” sahaja tetapi kami bimbang berlaku kekecohan."
Tidak
berlaku sebarang insiden buruk melainkan penduduk Felda Bukit Rokan
yang memegang bendera BN meminta peserta Jelajah Oren agar meningggalkan
tempat itu.
Selepas Mazlan dan beberapa pemimpin PAS dan PKR
memberi ucapan ringkas dari atas sebuah kereta pacuan empat roda di tepi
jalan, peserta Jelajah Oren meneruskan perjalanan ke Felda Bukit Rokan
Utara dan berlakulah insiden buruk tersebut.
Sementara itu
Pengarah Program Jelajah Oren “Selamatkan Felda” peringkat Negeri
Sembilan, Abdul Rahman Ramli mempertikaikan apakah hak mereka yang Abdul
Rahman dakwa merupakan orang Umno-BN (berdasarkan mereka membawa
bendera Umno dan BN) menghalang peserta dan lalulintas di jalan utama
Dangi-Jelai itu.
“Kalau mereka mengadakan sekatan di dalam
kawasan Felda OK lagi. Tapi ini mereka mengadakan sekatan jalan di jalan
besar, jalan utama.
“Setelah melihat tindak-tanduk mereka
seperti orang hilang akal, kami memang mengambil keputusan tidak mahu
masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, tetapi kami cuma mahu lalu menggunakan
jalan besar ke destinasi seterusnya.
“Kenapa mereka halang kami
lalu atau gunakan jalan besar? Kenapa mereka pecahkan cermin kereta dan
memukul dua peserta kami dengan kayu?" katanya.
0 Komen pengunjong :