Lee Chong Wei, wira badminton negara telah selamat bernikah dengan
gadis pilihan hati, Wong Mew Chew dalam majlis yang penuh gilang
gemilang. Majlis tersebut pastilah menjadi sebahagian daripada sejarah
besar buat kedua mempelai yang pastinya telah lama menanti untuk
menjalani hari besar mereka, meraikan cinta dan kasih sayang selamanya.
Kita ucapkan selamat pengantin baru kepada keduanya. Moga kekal sehingga ke anak cucu.
Namun selain perkahwinan yang kekal bahagia, apa yang pasti akan
kekal adalah satu titik hitam yang amat besar dalam sejarah majlis
tersebut yang akan menjadi kelompangan maha jelik dalam kisah cinta
Chong Wei serta pastinya album pernikahan mereka berdua adalah kewujudan
makhluk aneh di antara kedua mempelai di meja pengantin.
Adalah menjadi adat dalam mana-mana majlis perkahwinan, tidak mengira
agama, keturunan mahupun latar belakang, bahawa pasangan pengantin
diraikan sebagai raja sehari dan harus beriringan bersama-sama,
berpegang tangan, berbisik kata-kata cinta janji setia. Pantang besar
sebenarnya untuk memisahkan kedua pengantin pada hari mereka diraikan.
Kita melihat betapa gahnya posisi isteri Perdana Menteri di antara
kedua pengantin yang melahirkan rasa meluat maha hebat di kalangan
rakyat Malaysia yang menonton majlis tersebut secara langsung di kaca
televisyen. Ramai yang bertanya di laman sosial Twitter dan Facebook,
“Siapa dia pengantin Chong Wei sebenarnya?”
Menarik juga ‘perlibahasa’ yang tersebar di Facebook; ‘kancil sama
kancil menikah, gajah menyepit kat celah’. Ini mungkin kelakar bagi
sesetengah pihak, mungkin juga tidak. Namun inilah dia reaksi yang
terhasil dari rasa jengkel orang ramai dengan apa yang mereka saksikan.
Sejarah akan merakamkan saat paling malang buat kedua mempelai yang
sama cantik sama padan ini apabila wanita yang mendakwa dirinya First
Lady of Maalaysia telah melabuhkan punggungnya di kerusi yang memisahkan
antara pasangan pengantin di meja utama.
Ya betul, Chong Wei wira badminton negara. Tetapi tidak perlulah
untuk jamuan makan di kenduri kahwinnya pun mesti ada jaring dan
penghadang antara beliau dan permaisuri hatinya. Hatta mahu bersembang
dengan isterinya pun sampai terpaksa merenggangkan leher dan badannya,
seolah-olah sedang mencuba untuk mengambil pukulan smash dari Lin Dan.
Isteri
Perdana Menteri telah mengganggu majlis dengan kehadirannya yang
mencuri tumpuan di posisi paling ulung, di kerusi sebelah kiri pengantin
lelaki. Begitu sombong sekali meletakkan dirinya sebagai fokus utama
majlis orang.
Kesombongan ini melambangkan bongkaknya para penguasa dari kalangan
UMNO dan Barisan Nasional yang merasakan dirinya mulia dan mempunyai
kedudukan tinggi sehingga merasa dirinya layak dimuliakan sebegitu rupa
walaupun mencacatkan majlis bersejarah dalam kehidupan orang lain.
Chong Wei dan isteri mungkin akan terpaksa berlakon konon bebesar
hati di atas kehadiran ‘First Lady of Malaysia’ meskipun kehadiran
beliau itu telah mencacatkan majlis serta membangkitkan rasa meluat di
kalangan orang ramai.
Namun pasti akan ada sekelumit rasa menyesal di lubuk sanubari wira
badminton negara itu apabila suatu hari nanti setelah Putrajaya diambil
alih oleh Pakatan Rakyat, dan beliau sudah mampu menyuarakan penentangan
beliau terhadap Datin Seri Rosmah Mansor; album perkahwinannya tetap
akan dihiasi wajah isteri bekas Perdana Menteri selama-lamanya.
Pun begitu, kita doakan supaya kedua pengantin terus tabah dan
bersabar dengan cemuhan orang ke atas majlis mereka yang dirosakkan oleh
keangkuhan dan kesombongan manusia yang merasa dirinya berkuasa dan
mulia.
Rasa menyampah yang semakin menggunung tinggi di kalangan rakyat
pro-Pakatan Rakyat terhadap Isteri Perdana Menteri nampaknya kian
berjangkit kepada penyokong UMNO juga yang tidak aplogetik langsung
apabila dengan pantas mereka membandingkan Datin Seri Rosmah dengan
isteri Timbalan Perdana Menteri yang bezanya seperti langit dengan bumi.
Itu belum kita bandingkan Datin Seri Rosmah dengan isteri bakal Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Wan Azizah.
/– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :