Cakap berbelit-belit cuba untuk selamatkan diri


KUALA LUMPUR: Selepas memberi gambaran bahawa Umno ialah syaitan yang dikenali dan pembangkang pula ialah Malaikat yang tidak dikenali, tiba-tiba Dr. Mahathir menukar kenyataan kononnya Presiden PAS pula disokong syaitan.

Bagi AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, kenyataan terbaru bekas Perdana Menteri itu menyerlahkan sikap 'putar belitnya' untuk menyelamatkan diri selepas melabelkan Umno BN sebagai syaitan dikenali sebelum ini.

"Tun terpaksa cakap belit untuk menyelamatkan dirinya yang telah mendakwa Umno adalah syaitan yang dikenali.

"Lebih parah lagi beliau juga membuat kenyataan Malaikat juga membuat salah. Seribu kali malang 3.5 juta ahli Umno tidak menyanggah kenyataan Tun," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ustaz Idris lagi, PAS sentiasa memerangi syaitan apatah lagi syaitan yang dikenali kerana ia adalah ajaran Islam.

Apa yang pelik kata Ustaz Idris, biarpun Dr. Mahathir memberi jenama syaitan dikenali kepada BN, namun tiada ada seorang pun yang menentang atau marah terhadap beliau.

"Ertinya mereka semua diam dan redha atas jenama tersebut. Tidak ada pula kita kedengaran Ulamak Umno menegur kenyataan beliau, termasuk Datuk Seri Najib selaku Presiden Umno.

"Memang Tun seorang yang kebal, siapa yang berani sanggah alamat gelap masa depan di dalam politik.

"Contohnya Tun Abdullah Badwi yang berani membatal projek Jambatan Bengkok, sampai hari ini beliau dendam dan membelasah Tun Abdullah tidak kira masa dan tempat," jelas beliau sambil menegaskan hanya PAS dan Pakatan yang berani menyanggah Dr. Mahathir.

0 Komen pengunjong :