SEREMBAN,
25 OKTOBER:Keberanian Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook
mempertahankan Islam di parlimen daripada penghinaan dan tohmahan
bertubi-tubi oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek telah menerbitkan rasa
terharu di hati Mursyidul-am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan
Guru Dato Nik Aziz Nik Mat.
Anthony Loke yang juga Ketua Pemuda DAP, menerima sepucuk surat
daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan hari ini yang merakamkan ucapan
tahniah serta terima kasih Tuan Guru Nik Aziz kepada Anthony atas
keberanian beliau berhujah di Parlimen.
Anthony dilaporkan begitu bersemangat mempertahankan Tuan Guru Nik
Aziz daripada penghinaan berterusan MCA sehingga menepuk meja Parlimen,
menyebabkan Speaker Dewan mematikan mikrofon beliau dan menghalang
beliau dari terus berhujah.
Harakahdaily memetik Anthony sebagai berkata bahawa, “Dalam politik
kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga
punyai pendapat berbeza dengan PAS dalam soal hukum Hudud. Tetapi kita
tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam.”
Surat penghargaan juga tersebut memetik Tuan Guru Nik Aziz sebagai
berkata dengan tegas bahawa, ”DAP berani bidas MCA, tetapi UMNO takut.
Tak boleh harap kepada UMNO untuk jaga Islam, jaga Melayu pun tak ke
mana.”
Menurut laporan Malaysiakini, dalam sidang Parlimen pada 22 Oktober
lalu Anthony telah bangkit mempertahankan Mursyidul-am PAS itu yang
dirujuknya sebagai “Tok Guru”, sambil menyifatkan kenyataan Naib
Pengerusi Wanita MCA Heng Seah Kie yang disokong Presiden MCA Datuk Seri
Chua Soi Lek itu sebagai “paling biadap”.
“Chua Soi Lek ialah presiden MCA yang paling biadap,” katanya sambil menepuk meja.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada sikap pimpinan MCA yang
terus menghina dan memfitnah Islam dan PAS, terutamanya peribadi Tuan
Guru Nik Aziz melalui kenyataan Naib Pengerusi Wanitanya yang dilaporkan
berkata, “Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz
secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya
benar?” dalam Persidangan Agung Wanita MCA baru-baru ini.
Di laman sosial Facebooknya Anthony berkata, “Saya amat terharu dan
dengan perasaan penuh rendah diri menerima surat penghargaan dari
Pejabat YAB Menteri Besar Kelantan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz
berkenaan kenyataan saya di Parlimen beberapa hari lepas.
“Surat dari Tok Guru ini sekali lagi membuktikan kemurahan hati dan
kesederhanaan beliau walaupun sudah bergelar YAB MB selama 22 tahun!
“Saya berasa amat kerdil di depan seorang tokoh agama dan politik
yang mempunyai jiwa dan hati yang begitu besar seperti Tok Guru Niz
Aziz! Semoga Tok Guru sentiasa dalam keadaan yang sihat dan dipanjangkan
umur untuk terus memimpin PAS dan PR!”
– Roketkini.com
Polis tahan kambing gemar kejar orang
22 hours ago
0 Komen pengunjong :