Laporan Audit sedarkan dari ‘candu’ bajet Najib


KUALA LUMPUR: Pembentangan belanjawan gula-gula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menumpukan kepada pemberian one-off merupakan gambaran ketandusan idea seorang pemimpin bagi memakmurkan ekonomi rakyat, menjana pendapatan dan mencari jalan bagi menerajui masa depan ekonomi negara yang lebih berdaya saing.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  tindakan mengurniakan pembayaran one-off hanya menggembirakan penerima untuk sementara waktu, sedangkan peningkatan kos hidup terus bertambah dan seluruh rakyat menerima bebanan berterusan.

Ini, katanya umpama candu yang melalikan dan melalaikan buat sementara waktu tapi perit kesakitannya pasti mengunjung tiba, bahkan barah itu bakal ditanggung generasi akan datang.

Menurutnya, asas kepada pembinaan ekonomi negara  bukan hanya dilihat kepada apa yang dicurah, tetapi juga sejauh mana asas kawalan perbelanjaan negara diurus.

“Dengan kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, tindakan PM dilihat hanyalah untuk menghabiskan dana negara dalam bentuk pemberian one-off bagi menarik golongan sasar di kalangan pengundi baru untuk membeli jaminan kerajaan korup ini terus berkuasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kini, ujar beliau rakyat menanti pembentangan laporan audit negara yang sepatutnya dibekalkan bersama kepada seluruh ahli parlimen sewaktu pembentangan belanjawan.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara yang sengaja digagalkan untuk dikemukakan oleh kerajaan, menyebabkan analisa belanjawan hanya tertumpu apa yang diumum tanpa melihat sejauh mana ketirisan, penyalahgunaan kuasa, dana dan kemampuan urus tadbir oleh kerajaan BN.

“Laporan Audit ini bakal menjadi ubat penyedar kepada mereka yang terkena ‘candu’ yang ditanam dalam bajet Najib,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ini kerana, tambah beliau Laporan Audit dua tahun kebelakangan ini mendapati betapa kerajaan yang ada gagal melakukan pembaikan, walaupun ianya ditegur setiap tahun oleh Ketua Audit Negara.

BN, katanya sudah tentu ingat bagaimana mereka hampir tidak melakukan apa-apa dalam isu NFC, berdiam seribu bahasa dalam isu pembelian komputer RM40,000 dan juga binokular bernilai RM56,350.

Justeru, ujar beliau rakyat seharusnya berfikir secara serius berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai betapa perlunya sebuah kerajaan baru yang lebih amanah bagi menerajui masa depan negara dan bukannya berdasarkan candu racun yang ditanam dalam bajet untuk menang pilihanraya Barisan Nasional.
.

0 Komen pengunjong :