KOTA TINGGI:
"Jika sambutan macam ini di Kota Tinggi, ia adalah isyarat jelas Umno
boleh runtuh di Johor," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kepada
hampir 1,000 tetamu yang memenuhi Dewan Chun Moi, di sini.
70
peratus dari tetamu yang datang malam tadi adalah Cina dan India Kota
Tinggi di samping kawasan berdekatantermasuk Pengerang dan Bandar
Tenggara.
Mereka menyertai majlis makan malam anjuran Pakatan
Rakyat Kota Tinggi yang diterajui oleh PAS. Turut serta adalah pemimpin
DHPP Pusat termasuk ketuanya, Hu Pang Chaw dan ketua wanitanya,
Kamutha Raman.
Pada pilihan raya 1999, calon PAS yang
bertanding di situ hilang wang pertaruhannya kerana jumlah undi yang
diperolehinya terlalu sedikit. Calon PAS yang kini AJK PAS Pusat itu
kalah kepada Datuk Seri Hamid Albar.
Pada tahun 2004, Hamid
menang tanpa bertanding di Parlimen Kota Tnggi itu. Dalam pilihan raya
2008, calon PAS, Onn Jaffar yang bertanding di situ hanya mendapat
3,000 lebih undi.
"Saya masih ingat, ketika Tok Guru Nik Aziz
datang berceramah di Muar pada tahun 1987 dulu, hanya enam orang sahaja
yang datang mendengarnya," beritahu Salahuddin.
Kesemua ini
membayangkan Johor adalah kubu Umno dan amat sukar bagi PAS untuk
menembusinya dan Kota Tinggi adalah kubu bagi segala kubu untuk Umno di
Johor. Majlis-majlis PAS amat sedikit disertai orang ramai.
"Kedatangan malam ini adalah penanda penting sokongan pengundi terhadap
PAS di Johor khasnya dari kaum Cina dan India," kata Salahudin kepada
Harakahdaily selepas majlis itu.
Dalam perjalanan ke Kota
Tinggi, Salahudin berkata, dia beriya-iya benar mahu ke majlis malam
tadi kerana mahu melihat sendiri sambutan terhadap PAS di kubu Umno
ini.
Malam tadi ada tiga program serentak di Johor. Makan malam
anjuran DAP di Kulai, Ceramah umum bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di
Skudai dan makan malam di Kota Tinggi ini.
Beliau hanya
menyertai majlis di Kota Tinggi dan Kulai tetapi tidak pergi ke Skudai
kerana memberikan keutamaan majlis di Kota Tnggi ini.
"Kalau sambutan baik, ia akan mengesahkan teori sebelum ini bahawa gelombang sebenarnya sedang melanda di Johor," katanya.
Terbukti, sambutannya amat mengejutkan beliau. Onn Jaffar, Timbalan
Ketua Penerangan PAS Johor yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya
2008 juga mengesahkannya.
"Masa saya bertanding dulu, hanya
mangsa-mangsa banjir 2006 lalu yang kami tolong di bandar Kota Tinggi
ini menyambut kami. Yang lain semuanya bersama BN," kata Onn mengingati
tragedi banjir besar yang melanda banda Kota Tinggi dahulu.
Ketika itu, nama Unit Amal PAS naik memuncak ekoran kesungguhan mereka
membantu mangsa-mangsa banjir menyelamatkan barangan mereka termasuk
membersihkan rumah selepas banjir.
"Mereka cukup marah kepada
Hamid Albar ketika itu kerana beliau terus berada di luar negara ketika
pengundinya menghadapi banjir yang jarang sekali berlaku.
"Namun hal ini tidak berlaku kepada bukan mangsa banjir terutama orang Melayu di sini," kata Onn.
Di hadapan kira-kira 1,000 tetamu majlis itulah Salahudin sekali lagi
mengumumkan akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan
datang.
"Saya telah membua keputusan penting dalam sejarah
kerier politik saya bahaa saya akan bertanding di tanah tumpah daraah
saya iaitu Johor dalam pilihan raya umum akan datang ini," umum anggota
Parlimen Kubang Kerian itu.
Ia disambut tepukan gemuruh oleh
semua yang hadir dan ada antara mereka yang berdiri memberikan tepukan
itu di samping penyokong PAS yang bertakbir memuji kebesaran Allah.
Salahudin berada di kerusi selamat di Kubang Kerian selepas dua penggal
bertanding di situ. Kini beliau bersama gelombang kebangkitan di Johor
serta pengundi dari Sabah dan juga Sarawak untuk membentuk politik
baru di Malaysia.
Lelaki tular tampar isteri ditahan pagi tadi
4 weeks ago
0 Komen pengunjong :