Banyak persoalan isu wang RM40 juta dari Hong Kong


KUALA LUMPUR: Banyak persoalan menuntut jawapan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong ke Malaysia yang berakhir sebagai ‘sumbangan kepada Umno Sabah’.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepatutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan di Parlimen pada hari Isnin sewaktu peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2013 di Jabatan Perdana Menteri.

Baginya, Nazri Aziz telah menjerut dirinya dalam percanggahan apabila beliau mengatakan bukan SPRM ICAC Hong Kong yang membersihkan nama Datuk Seri Musa Aman daripada kes rasuah wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong pada Ogos 2008.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah menjerut dirinya dalam percanggahan apabila beliau mengatakan di Parlimen semalam bahawa bukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) Hong Kong yang membersihkan nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman daripada kes rasuah wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong pada Ogos 2008.

Menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai, Nazri berkata di Parlimen semalam:

“Yang Berhormat bercakap tentang wang yang dibawa masuk daripada Hong Kong. Saya hendak sebut di sini itu bahawa siasatan yang dijalankan bukan daripada SPRM. Siasatan dijalankan oleh ICAC iaitu Hong Kong yang terkenal dengan penyiasatan without fear or favor. ICAC telah pun menyatakan itu bahawa tidak ada kes rasuah di sini. Soal sumbangan kepada mana-mana pertubuhan pun tidak ada kesalahan. Kalau macam mana-mana parti pun hendak menerima wang tidak ada kesalahan, boleh terima orang hendak sumbang bagilah, apa salahnya.”

Akan tetapi, Nazri menceritakan perkara yang berlainan dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen PKR Batu, Chua Tian Chan minggu lepas berkenaan perkara yang sama iaitu:

  1. 1. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh SPRM dan memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan. Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri.

2. Pada masa yang sama kes tersebut telah turut disiasat oleh Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC). Berdasarkan siasatan ICAC berkaitan kes ini dan keputusan siasatan SPRM yang tersebut diatas, ICAC juga tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut.

3. Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland,  ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama. Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama yang dinyatakan diatas.

Daripada jawapan bertulis Nazri minggu lepas, kes tentang mata wang Singapura bernilai RM40 juta di dalam bagasi seorang ahli perniagaan Sabah, Michael Chia yang cuba diseludup keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos 2008 bolehlah disimpulkan seperti berikut:

1.    Peguam Negara Tan Sri Gani Patail berdasarkan kertas siasatan yang diserahkan kepadanya membuat keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dan bukannya ICAC Hong Kong.

2.    Walaupun ICAC turut melakukan siasatan-siasatan mereka sendiri, ia berdasarkan keputusan Peguam Negara dan siasatan SPRM yang menunjukkan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dengan itu ICAC tidak meneruskan sebarang tindakan lanjut. Itu sangat berbeza daripada apa yang Nazri katakan semalam bahawa ICAC yang membersihkan nama Musa daripada pertuduhan rasuah dan SPRM menurutinya!

3.    Berdasarkan keputusan Peguam Negara bahawa “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” maka ICAC menarik balik permintaannya kepada pihak berkuasa Switzerland memohon kerjasama dalam “urusan melibatkan jenayah” yang telah dilaporkan terhadap sebuah akaun bank Swiss.

Banyak persoalan menuntut jawapan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong ke Malaysia yang berakhir sebagai “sumbangan kepada UMNO Sabah”, yang sepatutnya Nazri jelaskan di Parlimen pada hari Isnin sewaktu peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2013 di Jabatan Perdana Menteri, termasuklah:

Pertama sekali, bilakah SPRM menghantar kertas siasatan tentang wang ‘seludup’ RM40 juta itu kepada Peguam Negara? Bilakah Peguam Negara membuat keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” lalu menutup fail? Adakah SPRM bersetuju sepenuhya dengan Peguam Negara bahawa  “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dalam kes itu, jika begitu, bilakah SPRM sendiri sampai kepada kesimpulan sedemikian?

Bagaimana dengan arahan Panel Penilai Operasi SPRM kepada SPRM dalam mesyuaratnya pada bulan Mei untuk mengumpul bukti lanjut terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebelum dibawa untuk pendakwaan yang kemudiannya Peguam Negara dapati “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” terhadap Musa dalam kes wang ‘seludup’ RM40 juta dari Hong Kong?

Arahan Panel Penilai Operasi SPRM kepada SPRM dalam mesyuaratnya berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap pertuduhan rasuah ke atas Musa Aman hanya didedahkan awal bulan ini oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Mohd Shukri Abdul seperti yang dilaporkan Malaysiakini dalam berita bertajuk “Anti-graft panel wants more evidence against Sabah CM”.

Bolehkah disimpulkan bahawa sehingga awal bulan ini, SPRM tidak sedar bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan yang “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” terhadap Musa Aman?

Kedua, bilakah ICAC Hong Kong dimaklumkan mengenai keputusan “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” oleh Peguam Negara dalam kes wang “seludup” RM40 juta Michael Chia dan bilakah pula ICAC menarik balik permohonan kepada pihak berkuasa Switzerland meminta kerjasama bagi sebuah pertuduhan serius penggubahan wang haram terhadap UBS, bank terbesar Switzerland, berikutan laporan pendedahan dokumen-dokumen yang mengaitkan Musa Aman dengan akaun rahsia bank UBS di Hong Kong dan Zurich?

0 Komen pengunjong :