KUALA LUMPUR- Kalau pemimpin Umno tidak ajar orang lain menghina
Islam, bangsa lain tidak berani melakukannya, kata Naib Presiden PAS,
Datuk Mahfuz Omar.
"Utusan Malaysia dan RTM tanya saya mengenai kenyataan (Pengerusi DAP
Perak, Datuk) Ngeh (Koo Ham) yang saya akui langsung tidak peka kepada
sensitiviti umat Islam.
"Saya beritahu mereka, tindakan Ngeh yang lansung tidak peka kepada
sensitiviti umat Islam itu sama dengan pemimpin Umno yang menghina
Islam. Antaranya, (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad)
dahulu. Beliau juga pernah hina orang Islam dan Islam. Koo Ham pun sama
dengan pemimpin Umno.
"Dr Mahathir berjaya didik Koo Ham," beliau memberitahu kenyataannya kepada Utusan.
Ngeh Koo Ham baru-baru ini menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada umat Islam atas kenyataan silapnya itu.
Menurut Mahfuz, media-media pro-Umno Barisan Nasional (BN) itu tidak
memberikan sebarang contoh penghinaan para pemimpin Umno terhadap Islam.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengecam orang-orang Umno yang hanya pandai memarahi satu pihak sahaja.
"Pemimpin-pemimpin Umno dan MCA hina Islam mengapa tidak marah?
"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sangat terkenal
dengan kenyataannya yang mendakwa negara akan huru-hara sekiranya
undang-undang Islam dilaksanakan, mengapa Umno tidak bantah?" Mahfuz
mempersoalkan.
Malah, katanya, Najib disiarkan oleh media sebagai mendakwa "Kerajaan
Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara,
ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan
kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.
Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau
menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak
semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih
makmur tanpa hukum itu".
Mahfuz juga bertanya, adakah orang-orang Umno lupa ucapan Dr Mahathir
yang disepakati majoriti rakyat sebagai penghinaan kepada Nabi
Muhammad?
Dalam ucapannya yang masyhur dan atas sifat sebagai Presiden Umno
itu, Dr Mahathir berkata: Dalam ucapannya pada Majlis Tertutup Majlis
Agama Kebangsaan 1997, Dr Mahathir berkata: "Sapa tau janggut Nabi macam
mana? Sapa biasa tengok janggut nabi, ada gambar? Kita tak tau. Ada
pulak yang kata janggut mesti sampai ke pusat. Ada yang special sikit
macam tu! (ketawa). Apakah kita nak jadikan ini ukuran agama Islam
kerana kita berjanggut maka kita Islam. Kononnya Sunnah Nabi. Kita tak
tau. Kita tak tau sebenarnya macam mana janggut dia (Nabi) (menahan
ketawa).
"Di zaman itu nak cukur pun mudah ke? Dia bukan ada Gillette. Zaman
nabi ada Gillette ke, tak dak. Pisau cukur pun tak dak masa tu. Jadi
masalah macam mana nak cukur masa tu".
Mahfuz juga mempersoalkan mengapa orang-orang Umno diam membisu
terhadap pelbagai ucapan lain para pemimpin yang menghina Islam seperti
dakwaan kononnya Saidina Hamzah tidak dimandikan semasa terbunuh di
dalam peperangan Uhud kerana di padang pasir tidak ada air, orang
perempuan Arab memakai tudung kerana di zaman Nabi orang Arab kuat
nafsunya dan berbagai lagi ucapan yang mempersenda Islam yang diucapkan
oleh mereka.
"Kita tidak larang mereka nak bantah ucapan Ngeh. Tetapi kenapa diam
membisu terhadap ucapan para pemimpin Umno dan MCA yang lebih teruk dari
ucapan Ngeh?" beliau mempertikaikan.
Beliau mengulangi penegasan bahawa ucapan-ucapan para pemimpin Umno
yang menghina Islam itu serta sikap membisu orang-orang Umno terhadap
penghinaan-penghinaan itu hakikatnya adalah galakan kepada penganut
agama lain di negara ini untuk menghina Islam.
.
0 Komen pengunjong :