KUALA
LUMPUR, 17 Sept — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini berkata
tangkapan keatas beberapa individu yang terlibat dalam memijak dan
kencing pada gambar pemimpin mereka adalah tindakan yang tidak ikhlas,
selepas kritikan ke atas tindakan pihak berkuasa terus menahan beberapa
orang anak muda yang memijak gambar pemimpin negara pada ambang merdeka
bulan lepas.
Naib presiden PKR N Surendran berkata tangkapan itu dibuat selepas
kementerian dalam negeri dan polis telah dikritik ke atas tindakan
pantas ke atas sekumpulan anak muda yang memijak gambar perdana menteri,
Datuk Seri Najib Razak ketika menyambut ambang merdeka di Dataran
Merdeka.
“Hanya kerana (menteri dalam negeri Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein)
dikritik teruk kerana orang ramai mengkritik polis yang berat sebelah
ke atas mereka yang memijak gambar PM”, kata Surendran kepada
The Malaysian Insider.
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua turut menyokong kenyataan Surendran
dengan berkata, “kejadian kencing pada gambar ini sudah berlaku
beberapa bulan lalu, adakah mereka telah diambil tindakan?”
“Atau adakah tangkapan ini dilakukan selepas rakyat sudah marah
dengan polis yang hanya bertindak apabila gambar Najib dipijak?” kata
Tony lagi.
“Jika Hishammuddin tidak berat sebelah, dia harus menangkap ahli Umno
dan Perkasa yang telah memijak, mengoyak, membakar dan menghina gambar
pemimpin PR sejak 2008,” katanya lagi.
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata jika polis mengambil
tindakan sejak dari awal, ia mungkin dapat menghentikan politik gangster
yang gila serta aktiviti yang tidak masuk akal.
“Polis hanya menunggu sehingga gambar PM dipijak, dan mereka hanya
bertindak apabila sudah ada kritikan, ini amat mengecewakan,” kata
Khalid.
“Ini menunjukkan polis berat sebelah dan tidak serius dalam menangani politik gangster dan tidak bermoral ini.”
Surendran, bagaimanapun, berharap tiada tindakan jenayah dikenakan ke atas mereka yang ditangkap.
“Kita percaya pemimpin haruslah terbuka ke atas rakyat walaupun
kritikan itu biadap dan tidak bersopan seperti kes mereka yang
mengencing gambar pemimpin PR,” kata Surendran.
“Asalkan ia tidak ganas, jangan jadikan itu satu perkara jenayah.
Seperti mereka yang memijak gambar PM, ia tidak sopan tapi itu bukan
jenayah.”
Pengarah bahagian siasatan jenayah (CID) Datuk Seri Mohd Bakri Zinin memberitahu
The Malaysian Insider bahawa
pihaknya sedang menahan mereka yang terlibat dalam dua insiden tersebut
di bawah Akta Hasutan — walaupun Putrajaya mahu memansuhkan
undang-undang tersebut.
Mohd Bakri berkata polis juga menahan mereka yang mengibarkan bendera
Sang Saka Malaya kerana mereka cuba menyebarkan kebencian di bawah
Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.
Mereka yang terlibat dalam kesalahan Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan
ini akan dikenakan penjara mandatori tiga tahun atau denda sebanyak
RM5,000 jika kesalahan pertama, dan boleh dinaikkan kepada lima tahun
penjara jika kesalahan berulang.
.
0 Komen pengunjong :