BISTARI JAYA 02 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
menyifatkan perbuatan samseng ke atas serangan bas Merdeka Rakyat di
Kota Bahru, Kelantan semalam, tidak menggambarkan negara demokrasi.
Dengan nada sinis, Abdul Khalid berkata sekiranya pihak yang terlibat
mahu mengikut inisiatif dari PKR itu, lakukan sahaja bukannya dengan
cara mensabotaj seperti itu.
“Kalau mahu ikut cara itu ikutlah. Boleh buat cara yang sama, guna bas juga.
“Kalau mahu marah, marah sendiri bukan marah orang lain. Cara samseng
ini tidak menggambarkan negara demokrasi,” katanya dalam ucapan di
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 DUN Ijok, di sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.
Beliau berkata bas bergerak itu akan tetap meneruskan program Jelajah
Merdeka Rakyat walaupun berhadapan dengan kekangan seperti kejadian
itu.
Semalam, kira-kira jam 4.30 pagi, bas Merdeka Rakyat yang memulakan
perjalanan di sebelah pantai timur dicemari dengan insiden buruk apabila
ia diserang di Kota Bharu.
Memetik laporan portal rasmi PKR, keadilandaily.com akibat serangan
itu cermin depan retak dan simbahan cat merah di bahagian depan bas dua
tingkat yang digunakan untuk program jelajah Merdeka Rakyat.
Kejadian berlaku ketika bas berkenaan diparkir di depan pasar besar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Bas berkenaan sebelum ini dinaiki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
.
0 Komen pengunjong :