Polis perlu tahu keutamaan tugas mereka


KUALA LUMPUR ― Polis perlu tahu tugas utama mereka iaitu menyelesaikan jenayah dan bukan membantu Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz berkata, polis seharusnya bertindak dengan lebih tegas dalam kes baling kasut dalam masjid yang didakwa dilakukan oleh pengikut Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) di Kedah baru-baru ini.
“Apabila beberapa anak muda bertindak memijak gambar perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak, mereka sampai ke satu tahap menubuhkan pasukan khas memburu anak muda ini.
“Tetapi dalam kes baling kasut, mereka tidak pula mahu menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya dalam sidang medianya di ibu pejabat PAS hari ini.
Menurut Mahfuz, pihak polis tidak tahu keutamaan tugas mereka, sepatutnya kes jenayah yang meningkat perlu diberi fokus.
“Saya tidak bersetuju dalam tindakan mereka (anak muda menunjuk punggung kepada gambar PM), tapi tak bermakna pihak polis perlu menubuhkan pasukan khas untuk memburu mereka yang terlibat.
“Kenapa pihak polis harus menubuhkan pasukan khas hanya kerana mereka menunjuk punggung ke gambar PM?
“Saya akui itu adalah sesuatu yang tidak elok, tetapi barangkali itu adalah sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan mereka,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, Perkasa tidak menghormati institusi masjid membaling kasut di baru-baru ini.
“Siapa mereka nak kata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk menyampaikan tazkirah?
“Tugas ini hanya pada jabatan agama Islam negeri.
“Dan apabila tidak ada wakil dari jabatan agama Islam negeri, maka kuasa seterusnya jatuh ke tangan imam masjid, dan imam itu membenarkan Datuk Seri (Anwar) untuk menyampaikan tazkirah.
“Adakah Perkasa kini mahu mengambil alih tugas polis dan jabatan agama?” katanya lagi.
Mahfuz berkata, pihak polis harus mengambil tindakan yang keras agar dilihat adil dalam melaksanakan tugas.
.

0 Komen pengunjong :