KUALA LUMPUR 18 September: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal
mendedahkan senarai daftar pemilih terkini menyebabkan kesukaran
terhadap proses semakan bagi mengenalpasti nama pengundi baru yang
diragui dalam usaha menyelesaikan masalah daftar pemilih.
Pengarah
Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Borhan Aman Shah berkata, keengganan
SPR berbuat demikian menunjukkan badan itu tidak mahu bekerjasama dengan
kerajaan negeri kerana masih belum mendedahkan senarai daftar pemilih.
Oleh itu, beliau mengingatkan SPR supaya berhenti menuduh Kerajaan Selangor enggan bekerjasama menyelesaikan isu daftar pemilih.
“Jangan hanya tahu tuduh kerajaan negeri, persoalan pokoknya kenapa SPR tidak dedahkan nama-nama tersebut.
“Apa yang penting SPR kena dedahkan untuk memudahkan kami membuat
semakan supaya tidak timbul nama bertindih dan sebagainya. Takkan SPR
mahu dedah nama dua minggu sebelum pilihan raya?,” katanya ketika
dihubungi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendakwa kononnya
Kerajaan Selangor tidak pernah membuat aduan dan menunjukkan hasil
siasatan mereka berhubung senarai nama pengundi baru yang meragukan
kepada badan itu.
Selangor bantu SPR
Borhan menjelaskan, proses pendemokrasian oleh kerajaan Selangor
belum lagi selesai sepenuhnya, jadi tidak perlu SPR menuduh melulu
kerana pihaknya akan membuat aduan sebaik kerja-kerja tersebut selesai.
“Apa yang dibuat oleh Kerajaan Selangor adalah proses pendemokrasian
untuk bantu SPR berhubung pengundi baru yang meragukan dan nama pengundi
bertindih.
“Sekarang ini kita masih dalam pengumpulan, prosesnya belum siap 100
peratus lagi. Tujuan kita adalah untuk dapatkan data terlebih dulu bagi
proses pengasingan. Kalau semuanya selesai, baru kita ada bukti untuk
lapor kepada SPR,” jelas beliau.
Borhan berkata, walaupun senarai daftar pemilih akan disemak mengikut
pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), namun SPR tidak boleh menafikan kewujudan pengundi
hantu.
“Pengundi hantu banyak takrifannya, kalau dulu orang yang sudah mati
tapi ada orang lain tolong mengundi bagi pihaknya dipanggil pengundi
hantu, tapi jika seseorang itu mengundi dua kali juga dipanggil pengundi
hantu.
“SPR tolonglah jadi badan berkecuali, dan pastikan pelaksanaan
Pilihan Raya Umum ke-13 ini dibuat dengan bebas dan telus,” ujarnya.
Peningkatan mendadak di Selangor
Kerajaan Selangor sebelum ini mendedahkan, peningkatan mendadak
daftar pemilih negeri itu untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah 316,788
berbanding daftar pemilih induk 2008.
Berikutan itu, Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) KEADILAN
melancarkan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) 3.0 di seluruh negara
bermula Mei lalu.
Sismep merupakan sistem yang direka dan berfungsi mengesan pengundi
hantu melalui perbezaan senarai pengundi yang berdaftar dan kawasan
mengundi dari tahun 2004 hingga 2011.
Sistem itu terbukti berkesan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 Kerajaan Selangor
menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711,
Sungai Besar (6,049), Hulu Selangor (15,481), Tanjong Karang (4,307),
Kuala Selangor (10,083), Selayang (16,189), Gombak (15,467), Ampang
(9,467), Pandan (13,175), Hulu Langat (23,334), Serdang (23,748),
Puchong (19,772), Kelana Jaya (13,714).
Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143,
Petaling Jaya Utara (5,603), Subang (27,765), Shah Alam (15,417), Kapar
(21,606), Klang (11,702), Kota Raja (22,256), Kuala Langat (17,172) dan
Sepang (14,627).
.
.
0 Komen pengunjong :