PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
hari ini mendedahkan satu lagi bukti baru berhubung syarikat yang
dikawal keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di
Malaysia dan Singapura.
Tiga
rangkaian syarikat itu termasuk Meatworks Pte Ltd, National Meat &
Livestock Corporation Sdn Bhd dan Global Biofuture Pte Ltd disyaki
melakukan pemindahan wang haram kepada Global Biofuture Pte Ltd yang
didakwa mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal lembu.
“Pemindahan wang sebegini perlu disiasat di bawah Akta Pengubahan
Wang Haram (AMLA) yang menetapkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan
pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat sebarang transaksi yang
disyaki, sama ada sumber kewangan atau tujuan pemindahan wang dibuat,”
tegasnya.
“KEADILAN kini mengalihkan tumpuan terhadap syarikat Global Biofuture
untuk memastikan operasinya juga disiasat dan segala pemindahan wang
dari dana awam dihentikan,” jelas beliau pada sidang media di Ibu
Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Rafizi mendedahkan tiga dokumen termasuk email dari Donna Yong,
kakitangan Meatwork Singapore yang bertanggungjawab terhadap operasi
syarikat milik keluarga bekas Menteri Wanita itu di Singapura yang
bertarikh 25 Oktober 2010 kepada Jabatan Kewangan National Feedlot
Corporation (NFC) dan disalinkan kepada ketiga-tiga anak Shahrizat.
Turut disertakan, borang permohonan penyediaan cek oleh National Meat
& Livestock Corporation Sdn Bhd (NLMC) yang dimilik dan dikawal
sepenuhnya oleh keluarga Shahrizat agar satu bayaran berjumlah 990,402
juta US Dollar (bersamaan hampir RM3 juta) dibuat kepada sebuah akaun
bank di Singapura.
Dokumen ketiga ialah invois bernombor V14/10 dari South East
Livestock Services Pte Ltd berpusat di Darwin dengan jumlah sama seperti
cek tadi kepada Global Biofuture Pte Ltd berpusat di Singapura yang
juga dimiliki dan dikawal keluarga Shahrizat.
Dokumen-dokumen tersebut menurut Rafizi mengesahkan bahawa, pembelian
lembu dari luar negara dibuat melalui syarikat broker Global Biofuture
tetapi dibayar oleh syarikat NMLC menggunakan wang rakyat yang diberikan
kepada NFC .
“Masalahnya, pembelian lembu oleh Global Biofuture tiada kena mengena dengan NMLC dan NFC,” katanya.
“Ini bermakna wang NFC telah dipindahkan secara haram melalui NMLC kepada Global Biofuture yang mana kehadiran Global
Biofuture sebagai orang tengah dalam pembelian harga lembu pada harga yang tinggi turut menimbulkan persoalan” jelasnya.
“Kenapa NFC tidak membeli terus lembu tersebut dari pembekal tanpa
melalui orang tengah yang kebetulan juga dimiliki keluarga Shahrizat?,”
soal beliau.
“Apakah keluarga Shahrizat mengambil untung dua kali dalam pembelian
lembu luar negara yang dibekalkan kepada NFC?” soalnya lagi.
Menurut Rafizi, bukti baru itu mencukupi agar BNM dan pihak berkuasa
menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar AMLA.
Satu laporan baru akan dibuat pada Khamis ini untuk memastikan siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa secepat mungkin.
.
0 Komen pengunjong :