Kelunturan semangat mengibarkan Jalur Gemilang semakin
ketara terutama tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang mungkin
disedari ramai pihak namun menganggap ianya ‘perkara biasa’.
Walaupun mengibarkan Jalur Gemilang bukan pra-syarat utama
mengekspresikan semangat kemerdekaan, namun ianya kekal sebagai satu
elemen penting meraikan ulang tahun bersejarah bagi negara.
Fenomena ini sepatutnya difikirkan semua pihak terutama parti
pemerintah yang saban tahun memikirkan konsep baru sambutan kemerdekaan
agar terus tersemat di sanubari rakyat Malaysia.
Gambaran ini melambangkan rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku
dalam iklim politik negara terutama pendedahan pelbagai skandal yang
melibatkan pimpinan negara dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 dihujani kontroversi bermula
dengan pengenalan tema ‘Janji Ditepati’ yang dilhamkan kerajaan sebagai
lambang ‘kejayaan’ mereka mentadbir negara selama ini.
Tema bermotifkan ‘kelangsungan politik’ ini nyata mendapat kritikan banyak pihak yang jelas tidak melambangkan semangat patriotik seperti tahun sebelumnya.
Ruang kritikan turut diserikan dengan ungkapan sinis ‘Janji Dicapati’
sebagai tanda protes rakyat dengan tema yang disifatkan sebagai ‘syok
sendiri’.
Kesinambungan kontroversi diteruskan dengan pengenalan lagu tema
‘Janji Ditepati’ dengan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri
Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim.
Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa
Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap
rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa
pemerintahan Umno-BN.
Pakatan Rakyat (PR) turut menempelak tema berkenaan dengan
berpendirian tema kemerdekaan perlu tampil tanpa berbaur politik
kepartian.Justeru ianya tidak langsung melambangkan inspirasi sebenar
rakyat pelbagai kaum di negara ini
Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dibentuk PR tampil dengan
tema lebih dinamik dan segar, Sebangsa, Senegara Sejiwa yang lebih
mencerminkan Malaysia yang merdeka.
Tidak
cukup dengan itu, kehadiran lebih 10,00 rakyat pada malam ambang
merdeka ‘Janji Demokrasi’ mengukuhkan lagi kepedulian rakyat yang
sebenarnya bosan dengan Umno-BN.
Apakah transformasi politik yang cuba dibawa Najib Razak menemui jalan buntu sehingga isu kecil sebegini gagal diselesaikan?
Nyata retorik politik ini sebenarnya gagal menambat hati rakyat
meskipun pemberian beberapa insentif terutama durian runtuh bagi
peneroka Felda dan pemandu teksi.
Situasi ini sebenarnya menggambarkan hanya pihak tertentu yang
‘terbela’ walhal masih ramai yang menderita dengan kenaikan harga
barang, kegagalan anak muda memiliki rumah pertama dengan kos yang
tinggi dan beban hutang pembiayaan pendidikan.
Bukan ingin menimbulkan unsur hasad dengki mahupun cemburu terhadap
golongan Felda mahupun bekas tentera yang banyak berbakti kepada negara
tetapi harus diingat, banyak golongon marhaen yang belum menikmati hasil
negara secara saksama dan adil.
Harus diingat, pemberian ini sebagai modal kepada rakyat supaya terus memilih mereka bila ‘tiba masa balas budi’.
Tidak hairanlah apabila kempen mengibar jalur gemilang yang diberi
kempen meluas tidak mendapat sambutan rakyat. Ini disebabkan persepsi
rakyat merasakan mengibar jalur gemilang seolah-olah bersengkol dengan kerajaan mengibarkan bendera Umno-BN untuk berkempen.
Kepimpinan BN sebenarnya telah memperoleh ‘klu’ berhubung sokongan
rakyat terhadap kepimpinan Najib apabila menyaksikan satu dari 300
kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang.
Hakikatnya rakyat sebenarnya menunggu ‘masa balas budi’ untuk membawa
perubahan kepada Malaysia untuk mencapai erti kemerdekaan sebenar
dengan lebih mendalam.
.
0 Komen pengunjong :