Hentikan perbuatan menghentam peribadi Anwar - Pas Terengganu

Mohd Abdul Wahid Endut

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut meminta mana-mana pihak menghentikan perbuatan menghentam keperibadian ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sering menjadi sasaran politik pihak tertentu.

Sambil mempertahankan Anwar, beliau berkata, serangan demi serangan yang berlaku terhadap Penasihat PKR itu telah menyebabkan timbulnya kemarahan dalam kalangan orang ramai terhadap pihak kerajaan.

Perkara itu diakui memandangkan Anwar mempunyai pengaruh yang cukup besar sehingga isu-isu yang membabitkan individu tersebut telah menjadi salah satu faktor kepada kebangkitan pembangkang sebagaimana gelombang 1999.

“Gelombang 1999 adalah kerana Anwar. Orang Melayu hilang sabar ada marah. Sekarang faktor Anwar masih ada dan jangan main-main (dengan membabitkan Anwar dalam sesuatu isu).

“Saya perhatikan orang ramai tidak berganjak. Faktor Anwar masih ada. Jadi kita jangan melebih-lebih. Jangan ‘gomo’ (hentam) Anwar kerana itu akan menyebabkan orang terlampau marah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini.

Sementara itu, beliau yakin gelombang kebangkitan rakyat turut berlaku di Terengganu, sebagaimana yang ditunjukkan masyarakat di Pantai Barat ketika ini.

Bagaimanapun, dari segi sikap dan tindakan, pengundi negeri ini lebih tenang tanpa menunjukkan sikap agresif kerana majoriti rakyatnya orang Melayu yang masih terkenal dengan sikap sopan-santun.

“Orang Melayu mempunyai budaya lain sedikit. Mereka lebih senyap, tenang, senyum dan tetap bertanya khabar antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sikap pengundi yang terus tertanya-tanya berhubung tarikh pilihan raya menggambarkan isyarat jelas daripada rakyat untuk memastikan berlakunya peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mohd Abdul Wahid berkata, semangat yang ditunjukkan rakyat itu adalah trend baru yang tidak pernah berlaku pada pilihan raya-pilihan raya sebelumnya.

“Saya ingat bila orang tunggu pilihan raya, seolah-olah ada trend (untuk pembangkang menang). Saya berasa begitu (boleh menang) sebab dahulu orang tidak kisah (tentang tarikh pilihan raya). Kita pun tidak susah berkempen,” katanya.
.

2 comments :

  1. Bagaimana kita tak bercakap hal Anuar yang dok pi mula tu bukan orang awam macam kita nie ,bapak segala syaitan yang dok perbesar-besarkan kerana dia terlalu takut dengan kewibawaan Anuar, kalau benarlah Anuar nie orang yang paling jijik dimata masyarakat masakan rakyat akan menyanjung dia bahkan segala tuduhan dan dakwaan yang dikenakan terhadapnya tiada satu bukti pun yang boleh mensabitkan dia sebaliknya yang membuat tuduhan pula yang mendapat cemuhan dan caci dari masyarakat, ingatlah wahai rakyat Malaysia Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar dengan do'a hambaNYa yang dizalimi oleh orang yang berkuasa Tahgut, mesti ada hikmah disebalik apa yang sedang dilalui oleh orang yang bernama Anuar Ibrahim ini disisi Allah.Amin !!!!!!!

    ReplyDelete
  2. Insyaallah satu hari nanti kebenaran akan terbukti juga.

    ReplyDelete