KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad kononnya negara kucar-kacir jika Pakatan Rakyat
diberi peluang memerintah negara membayangkan perubahan besar bakal
berlaku pada PRU 13.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam
satu kenyataan berkata, kenyataan Mahathir itu mempamerkan ketakutan dan
tekanan yang dihadapi BN pada ketika ini.
"Bukan omong kosong,
namun dengan pelbagai isu dan skandal rasuah, penyelewengan serta
salahguna kuasa, salahguna hari kemerdekaan dan termasuklah kebangkitan
luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi 'fixed
deposit' BN, ini menguatkan lagi hujah betapa Umno BN bakal kehilangan
kuasa pada PRU 13.
"Situasi inilah yang menggusarkan seorang
bekas Perdana Menteri lantas terbitlah kenyataan berbaur ugutan dan
cubaan menakutkan pengundi," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor
Reduan.
Menurut Edy, kesemua negeri-negeri yang dikuasai Pakatan
Rakyat telah menunjukkan kemampuan pentadbiran mereka masing-masing dan
dalam banyak perkara negeri Pakatan Rakyat lebih baik dari negeri yang
diperintah BN sendiri.
Ia termasuk soal pengurusan kerajaan
negeri, penjimatan, kadar FDI masuk yang tinggi dan juga kebajikan
rakyat seperti yang direkodkan dalam laporan audit negara baru-baru ini.
"Maka
di atas kejayaan pentadbiran sepenggal Pakatan Rakyat di beberapa
kerajaan negeri, di manakah bahaya dan bahana yang disebut Tun Mahathir?
"Ataupun sebenarnya ada sesuatu yang amat ditakuti oleh bekas PM ini jika servis kerajaan pusat berubah tangan," soalnya lagi.
Mengulas
kenyataan Mahathir bahawa "tidak ada jaminan pembangkang bila menjadi
kerajaan akan membenarkan BN kembali dan pegawai mereka akan mengugut
sesiapa yang mahu menukar kerajaan", Edy berkata bekas perdana menteri
itu seolah-olah sedang bercakap di depan cermin.
Ini kerana, apa yang disebut itu adalah apa yang sedang dibuat oleh Umno BN ketika ini.
"Nyata
sekali kenyataan Tun Mahathir kononnya bahaya menukar kerajaan pusat
adalah umpama ugutan dari ular sawa lumpuh kekenyangan yang dihimpit
usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat yang kian celik membuat
perhitungan.
Rakyat hari ini tidak mudah dipengaruhi sentimen
hasutan dan ugutan. Madu di tangan kanan dan racun di tangan kiri,
rakyat sudah bijak membuat pilihan antara madu (PR) dan racun (BN).
"SAMM
juga turut mendoakan supaya Tun Mahathir panjang umur untuk menjadi
saksi hidup tumbangnya sebuah regim penyambung legasi penjajah,"
katanya.
.
0 Komen pengunjong :