KUALA
LUMPUR, 25 Ogos — Pemberian wang tunai untuk meramaikan sambutan Hari
Kebangsaan minggu hadapan membuktikan kegagalan polisi 1Malaysia perdana
menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menyatukan rakyat Malaysia, kata
ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, hari ini.
Penasihat DAP itu melabel tindakan ini dengan apa yang beliau
istilahkan sebagai “menyewa hadirin” untuk dua acara ambang Merdeka
dengan menyatakan ini adalah kebiasaan Barisan Nasional (BN),
menggunakan wang agar majlis mereka dilihat ramai hadirin.
“Acara Hari Kebangsaan ini… sepatutnya berlaku secara spontan,” kata Lim ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider. “Apabila ia menjadi terlalu tiruan, ia kehilangan maknanya.”
Lim menambah, keperluan untuk membayar hadirin untuk datang ke acara
tersebut adalah refleksi jelas percubaan perdana menteri untuk
membangunkan negara bangsa gagal untuk menyatukan rakyat Malaysia
walaupun dengan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian
diutamakan.
Menurut Lim, konsep 1Malaysia yang sering dipromosi seharusnya telah
berjaya membawa rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan
agama bersama lebih-lebih lagi dalam sambutan Hari Merdeka — seharusnya
membangkitkan semangat patriotisme mereka.
“Ini adalah refleksi menyedihkan kegagalan 1Malaysia untuk membawa
rakyat Malaysia bersama menjadi satu, terutamanya dalam perayaan hari
kebangsaan seperti ini,” katanya.
Kata Lim lagi, kerajaan BN menguruskan sambutan hari kebangsaan tahun
ini dengan cara salah, menjadikan contoh kekecohan sebelum ini dalam
penggunaan “Janji Ditepati” sebagai tema Hari Merdeka.
“Ia memecahbelahkan. Sepatutnya ia menyatukan, sebaliknya yang berlaku,” katanya.
The Malaysian Insider melaporkan pagi ini bahawa Putrajaya
menawarkan wang tunai dan cendrahati kepada 1000 orang pelajar
universiti untuk menyertai perayaan Hari Kebangsaan.
Dalam sebuah e-mel dari jabatan Perpaduan Negara dan unit Integrasi yang dilihat oleh The Malaysian Insider
semalam, pelajar dijangka mengibarkan bendera atau “melakukan beberapa
pembentukan bendera mudah” apabila lagu kebangsaan “Negaraku” atau lagu
1Malaysia yang dimainkan semasa dua peristiwa diambang Merdeka — satu di
Dataran Merdeka pada waktu pagi dan kedua di Stadium Bukit Jalil pada
waktu petang.
“T-shirt disediakan pada waktu pagi dan wang tunai sebagai
penghargaan akan diberikan kepada setiap peserta,” kata seorang pegawai
dalam satu kiriman e-mel kepada sebuah universiti.
“Untuk waktu petang, tiada T-shirt disediakan.”
Ketika dihubungi, pegawai itu memberitahu The Malaysian Insider
bahawa peserta dijangka menghadiri raptai selama lima hari daripada
hari ini, akan dibayar RM20 dan makan tengah hari disediakan untuk
setiap hari.
“Jadi, untuk lima hari setiap peserta akan dibayar RM100,” kata pegawai tersebut.
Pegawai tersebut menambah, jabatan berharap untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya 1,000 orang peserta berumur dari 18 hingga 35 tahun
dari beberapa universiti sepanjang bandar ini.
Sejumlah 25 buah bas akan disediakan untuk membawa peserta dari beberapa checkpoint sepanjang bandar ke dua tempat acara itu.
E-mel dari pegawai itu juga secara spesifik menyebut hanya Cina dan India yang diperlukan untuk acara tersebut.
Apabila ditanya mengapa, pegawai tersebut mengatakan bahawa beliau tidak tahu apakah sebabnya.
“Mungkin mereka (jabatan) sudah mempunyai bilangan orang Melayu yang mencukupi,” kata beliau.
Kabinet Najib telah memilih “55 tahun kemerdekaan, Janji Ditepati”
sebagai tema Hari Merdeka yang telah mendapat tentangan oleh kerana
pengkritik mengatakan tema tidak sesuai oleh kerana ianya lebih kepada
agenda politik BN.
Logo “Janji Ditepati” dan lagu tema telah mendapat reaksi hebat oleh
kerana terdapat dakwaan bahawa lagu tersebut ditiru daripada lagu gospel
Indonesia.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh kerajaan BN
merampas perayaan hari kebangsaan demi mengetengahkan agenda politik dan
menyalahgunakan sumber kerajaan untuk tujuan berkempen.
Sebagai tindak balas, pakatan pembangkang PKR, DAP dan PAS
mengumumkan tema alternatif sendiri pada hari Rabu — “Sebangsa,
Senegara, Sejiwa” — cadangan diterima daripada orang ramai awal bulan
ini.
.
Lelaki tular tampar isteri ditahan pagi tadi
2 months ago
0 Komen pengunjong :