Menteri
Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa kerajaan
persekutuan memendekkan tempoh kajian jawatankuasa khas berhubung
pembayaran hasil petroleum kepada negeri itu dari enam bulan kepada tiga
bulan.
"Dia (perdana menteri) sebut dalam surat tempohnya enam
bulan, sepatutnya tiga bulan. Kelantan berkehendak pada duit dia
sendiri, bukan duit orang lain," katanya.
Menurutnya, bayaran itu
hak rakyat Kelantan kerana telaga cari gali petroleum yang diusahakan
Petronas sememangnya berada dalam kawasan pesisir pantai Kelantan.
"Kelantan yang paling dekat sekali (dengan) telaga pesisir pantai itu daripada negeri lain.
"Kalau
negeri lain tak dapat, munasabah. Kalau kelantan tak dapat tak
munasabah," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam petang semalam.
Menurut
Nik Aziz, kerajaan pusat sepatutnya mewujudkan jawatankuasa khas untuk
mengkaji perkara itu sejak Kelantan mumla disekat daripada menerima
royalti minyak.
"Sepatutnya masa dia hendak sekat dahulu dia buat
jawatankuasanya kerana akta (berkenaan) dibuat dalam Parlimen masa
zaman Tun Razak (sebagai PM) lagi," katanya merujuk kepada Seksyen 4
Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975.
Peruntukan
itu menetapkan Petronas perlu membayar wang tunai kepada kerajaan
negeri secara tahunan sebanyak lima peratus dari pada nilai petroleum
yang didapati dan diperoleh di Kelantan.
Exco negeri Kelantan,
Datuk Husam Musa pula menggesa kerajaan pusat melangsaikan pembayaran
itu sebelum pilihan raya umum akan datang untuk manfaat rakyat Kelantan.
"Kita
berharap penentuan ini boleh dibuat sebelum pilihan raya. Jangan tunggu
selepas pilihan raya nanti dia tak mahu bayar balik," kata Husam.
Mohon perkenan Sultan Kelantan
Sementara itu,
Bernama
melaporkan bahawa Nik Aziz akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat
perkenan berhubung penyertaan wakil kerajaan negeri ke dalam
jawatankuasa khas yang diumumkan kerajaan pusat semalam.
Laporan
itu menyebut, kerajaan Kelantan belum memutuskan mengenai penyertaan
wakil daripada negeri itu ke dalam jawatankuasa itu.
"Saya
sendiri akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda.
Hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,"
katanya seperti dipetik laporan tersebut.
Kerajaan pusat semalam
mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji bayaran tunai
hasil petroleum kepada negeri-negeri di pantai timur semenanjung
Malaysia dalam tempoh enam bulan ia ditubuhkan.
Jawatankuasa itu
akan dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad
dan dianggotai pakar undang-undang dalam dan luar negara, wakil dari
kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan
negeri masing-masing.
.
0 Komen pengunjong :