KUALA LUMPUR, 29 Julai — Perletakan jawatan dua pemimpin
veteran Barisan Nasional (BN) Sabah dari parti tersebut memberikan
tamparan hebat pada ketika parti pemerintah itu sudah bersiap-sedia
untuk pilihan raya umum (PRU) ke-13.
"Episod terkini pemberontakan terbuka pemimpin BN Sabah tidak
menyenangkan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) yang selama ini
mendakwa Sabah adalah 'simpanan tetap' BN.
“Kejatuhan BN akan datang lebih cepat daripada kemudian dan tidak
dapat dielakkan," kata setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua.
Sebentar
tadi bekas timbalan ketua menteri (TKM) Sabah, Datuk Seri Wilfred
Bumburing mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan akan
menyertai Pakatan Rakyat (PR) dipercayai melalui Angkatan Perubahan
Sabah (APS) yang baru ditubuhkan.
Semalam, timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri
Lajim Ukin yang juga ahli majlis tertinggi Umno meletakkan semua
jawatan dalam Umno dan BN.
Kedua-dua ahli politik itu menubuhkan gerakan politik baru yang mesra
PR — Bumburing melancarkan APS di Tuaran manakala Lajim akan
melancarkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) di Beaufort petang nanti.
Menurut Pua, Bumburing dan Lajim telah kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib sebagai pengerusi BN.
“Kekuasaan Najib semakin goyang setiap hari, terutamanya selepas
menangguhkan pilihan raya yang sepatutnya diadakan tahun lepas lagi,”
kata Pua kepada
The Malaysian Insider hari ini.
“Yang nyata, lebih lama beliau tangguhka pilihan raya, lebih banyak
masalah yang akan timbul dikalangan pemimpin BN dengan meningkatnya
ketidakpercayaan mereka terhadap kepimpinan beliau,” katanya lagi.
Sementara itu, pengarah strategic PKR berkata, perkembangan terbaru
tidak hanya besar di Sabah akan tetapi menyemarakkan lagi peluang PR
untuk mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.
“Dengan Wilfred Bumburing juga keluar, kita akan melihat perpaduan tenaga yang akan menguatkan Pakatan Rakyat,” katanya.
“Ini sudah pasti akan merubah prospek pilihan raya di Sabah dan
dengan mudah 10 kerusi parlimen BN sedang berada dalam keadaan bahaya di
Sabah.”
Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempunyai pandangan serupa dengan rakan-rakannya dari PR.
“Kita melihat ini sebagai satu momentum dan kita percaya selepas ini
lebih ramai akan tampil ke hadapan untuk bersama Pakatan Rakyat (PR),”
kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz percaya, Najib akan menangguhkan lagi pilihan raya oleh kerana memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah serius ini.
“Saya percaya, jika Najib tunggu dengan lebih lama, tindakan seperti Lajim dan Bumburing akan mempengaruhi lebih ramai.
“Sama ada pilihan raya mengejut atau tidak, ia akan menguntungkan PR.”
Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya telah lama berlaku walaupun ianya perlu diadakan selewat-lewatnya pada April 2013.
Baru-baru ini,
The Malaysian Insider melaporkan tentang kemungkinan pilihan raya akan dipanggil selepas perayaan Aidilfitri pada bulan September.
PR akan memberikan lebih tumpuan kepada Sabah dan Sarawak oleh kerana
kedua-dua negeri tersebut mempunyai 57 kerusi parlimen termasuk Labuan,
25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi.
Pada pilihan raya 2008, Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan BN
daripada terlepas Putrajaya ke tangan PR apabila BN memenangi 55 kerusi
dan PR menang 2 kerusi.
Walaubagaimanapun, BN kehilangan penguasaan majoriti dua pertiga di parlimen apabila PR memenangi 80 kerusi parlimen.
.
0 Komen pengunjong :